PM ingatkan pemimpin siswa, mencuri akan membawa kejatuhan
Iklan
PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mengingatkan para mahasiswa agar berpegang kepada nilai murni dan tidak mengambil apa-apa yang bukan milik mereka.
Tanpa merujuk kepada mana-mana individu, Dr Mahathir memberi amaran bahawa perbuatan mencuri akan membawa kepada kejatuhan seseorang individu.
“Perkara yang bukan milik anda akan sebati dalam diri dan menjadi punca kejatuhan anda. Saya rasa anda sudah lihat perkara ini berlaku di sekeliling.
“Anda tahu apa yang jadi jika ambil perkara yang bukan milik anda. Saya tidak merujuk kepada sesiapa, ini kenyataan umum,” katanya yang disambut gelak ketawa para pelajar di satu program pagi ini.
Beliau bercakap di satu perhimpunan pelajar di Malaysian Student Leaders Summit XII di Kuala Lumpur.
Dr Mahathir berkata pemimpin yang baik perlu ada kesan kepada orang di sekeliling mereka, dan membantu untuk memotivasikan dan membina pemimpin masa depan dengan nilai baik.
“Pemimpin itu penting. Ramai antara kita bercita-cita mahu jadi pemimpin tetapi kita perlu bangunkan kualiti yang baik terlebih dulu,” katanya.
Pengerusi Bersatu memetik rakyat Jepun yang mempunyai upacara kuno di mana mereka akan mengambil nyawa sendiri kerana malu tidak berjaya untuk negara.
“Saya tidak tahu adakah di Malaysia kita ada rasa malu begitu kerana malu kita ialah bila kita pakai baju yang tidak elok atau ditangkap mencuri sesuatu.
“Rasa malu kita tidak selalunya sama. Anda patut rasa malu bila gagal melakukan sesuatu,” katanya. – 11 Ogos, 2018.