Nurul Izzah tanding Seri Setia? Anwar kata tak maklum
Iklan
KETUA PKR Anwar Ibrahim menafikan mengetahui khabar yang anaknya, Nurul Izzah Anwar akan menjadi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia bagi membuka laluan kepadanya bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Anwar berkata beliau tidak pernah mendengar perkara itu dan mempersoalkan mengapa Nurul Izzah menukar kerusi Parlimennya kepada kerusi negeri.
“Saya tak dengar tentangnya. Mengapa Izzah pergi ke (kerusi) negeri?” katanya ketika ditemui di Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia XII di Kuala Lumpur hari ini.
The Malaysian Insight hari ini melaporkan, sumber parti mendedahkan Nurul Izzah dicadangkan sebagai calon PRK Seri Setia yang akan diadakan 8 September depan.
Kerusi itu kosong selepas kematian penyandangnya Prof Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos kerana kanser usus.
Anwar berkata tiada sesiapa yang mencadangkan perkara itu tetapi beliau akan mempertimbangkannya sekiranya benar.
“Tiada siapa cadang. Jika ada orang cadang, saya akan pertimbangkan,” tambah Anwar.
Jika Nurul Izzah mengosongkan kerusi Permatang Pauh, beliau akan hilang kelayakan daripada menjadi ahli Dewan Rakyat selama lima tahun bermula daripada tarikh meletak jawatan.
Beliau berulang kali menafikan akan berundur untuk ayahnya, menyifatkan kawasan itu sebagai “cinta abadinya”.
Minggu lepas, Anwar menang jawatan presiden PKR tanpa bertanding, satu lagi kemajuan dalam rancangan mewarisi jawatan perdana menteri.
Rabu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan yang PRK Seri Setia akan dijalankan serentak dengan PRK Balakong. – 11 Ogos, 2018.