Anwar puas hati kemajuan dalam pelaksanaan 10 janji 100 hari Pakatan
Iklan
ANWAR Ibrahim berpuas hati dengan kemajuan dalam pelaksanaan manifesto 10 janji 100 hari oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Presiden PKR itu berkata, beliau mengadakan perbincangan yang panjang dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung perkara tersebut.
“Saya berpuas hati dengan kemajuan yang dilaksanakan tetapi kita harus memberi ruang kepada pemimpin PH untuk turut menyampaikan pandangan mereka (mengenai perkara itu),” katanya kepada pemberita pada satu perhimpunan pelajar di Malaysian Student Leaders Summit XII di Kuala Lumpur, hari ini.
Anwar berkata Dr Mahathir ingin memperbetul masalah yang dihadapi negara ketika ini.
“Dalam perbicangan dengan Dr Mahathir, beliau menunjukkan kesediaan untuk memperbetul apa yang dirasakan beliau sebagai kelemahan di peringkat awal,” tambah Anwar.
Manifesto PH menyatakan yang gabungan itu akan melaksanakan 10 perubahan dasar dalam tempoh 100 hari jika dipilih untuk mentadbir Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Janji tersebut antara lain menyentuh mengenai pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah dan memperkenalkan semula subsidi minyak bersasar bagi menstabilkan harga petrol.
Pada Rabu, Rang Undang-undang (RUU) bagi pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diluluskan.
Sistem percukaian tersebut diperkenalkan pada April 2015 oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), bagi mengantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
RUU Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 turut diluluskan Dewan Rakyat pada hari sama.– 11 Ogos, 2018.