Daim pertahan lawatan ke China
Iklan
PENGERUSI Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin berkata tidak salah jika kerajaan mahu menghantarnya ke China sebagai utusan.
Beliau turut mempersoal kritikan yang dilempar terhadapnya berhubung perkara itu.
“Mengapa mereka perlu kritik? Jika kerajaan mahu saya mewakili mereka, tiada salahnya,” katanya kepada pemberita pada satu perhimpunan pelajar di Malaysian Student Leaders Summit XII di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau juga berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sering menghantarnya sebagai utusan sebelum ini.
“Maksud saya, sebelum ini lagi, perdana menteri sering menghantar saya ke luar negara, ke banyak tempat,” tambahnya.
Bulan lepas, Daim bertemu Perdana Menteri China Li Keqiang dan Menteri Luar Wang Yi di Beijing bagi mengukuhkan hubungan dua hala susulan langkah kerajaan mengantung projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL).
Bekas menteri kewangan itu bertemu Li bagi mengirimkan sepucuk surat daripada Dr Mahathir.
Bekas ketua Pemuda Umno dan ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mempersoal lawatan tersebut di Dewan Rakyat dan berkata Majlis Penasihat Kerajaan harus dibubarkan sekiranya ia terus bertindak melebihi tugasnya sebagai badan penasihat.
Beliau juga berkata rakyat berhak tahu mengenai intipati perbincangan antara Daim dan pemimpin China.
Menteri Luar Saifuddin Abdullah sebelum ini berkata kerajaan sedang berada dalam landasan yang betul selepas Daim mengadakan pertemuan dengan pemimpin China.
Saifuddin turut menekankan yang Malaysia komited untuk menghormati komitmennya dan mahu mengekalkan hubungan baik dengan China.– 11 Ogos, 2018.