Pakatan tidak bodoh untuk pilih DAP sebagai ketua, kata Dr Mahathir
Iklan
TERDAPAT tiga parti yang diketuai orang Melayu dalam Pakatan Harapan dan dakwaan DAP menguasai gabungan itu adalah tidak benar, kata Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi Pakatan itu berkata, ini menyebabkan DAP tidak mempunyai majoriti dalam gabungan itu.
“DAP bukan majoriti. Kalau kita jumlahkan Amanah dan PKR, mereka mempunyai lebih banyak wakil rakyat daripada DAP.
“Kalau mereka begitu bodoh, mereka akan pilih DAP lah. Tetapi mereka bukan bodoh macam tu,” kata Dr Mahathir pada sidang media di Petaling Jaya hari ini mengulas dakwaan Perdana Menteri Najib Razak yang mengatakan DAP menguasai Pakatan semalam.
Menurut Dr Mahathir, Najib dan Barisan Nasional (BN) akan terus mengulangi tuduhan DAP menguasai PH.
“Benda tak benar. Orang Najib tak tahu sistem demokrasi. Yang mereka hanya tahu adalah kleptokrasi,” katanya.
“Dalam sistem dia (Najib), dia saja yang lebih besar daripada orang-orang Umno, BN. Inilah sistem Najib, satu orang mengatasi semua orang.”
Dr Mahathir menjelaskan, dakwaan mengatakan DAP mendapat kerusi terbanyak dalam Pakatan adalah tidak benar.
“Dulu dalam Pakatan Rakyat pun kerusi PAS dan PKR lebih banyak,” katanya.
Pada sidang media sama Dr Mahathir mengulangi tidak terlibat dengan krisis kehakiman 1988 yang menyaksikan Salleh Abbas dipecat.
“Saya sudah jelaskan perkara ini. Bukan saya. Terdapat aduan daripada Agong.
“Tetapi Peguam Negara pada ketika itu (Abu Talib Othman) tidak mahu menyebut nama Agong, sebaliknya dia menggunakan nama saya dan memberi alasan penubuhan tribunal yang tidak diketahui saya,” katanya.– 26 Julai, 2017.