Iklan

Media sosial pilihan utama sumber berita pengundi Melayu pada PRU14

The Malaysian Insight6 years ago15th Aug 2018Berita
Whatsapp fb
Aplikasi WhatsApp paling popular sebagai platform media sosial sebagai sumber maklumat dan berita kepada pengundi Melayu. – Gambar AFP, 15 Ogos, 2018.
Iklan

MEDIA sosial muncul sebagai pilihan utama sumber berita dan maklumat bagi pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini, kata satu kaji selidik.

Hasil dapatan kaji selidik yang dijalankan oleh Ilham Centre itu mendapati platform seperti Facebook, Twitter dan WhatsApp menjadi kunci utama untuk memenangi hati orang Melayu dalam “Malaysia baharu”.

Kaji selidik yang ditugaskan oleh The Malaysian Insight itu mendapati 36% daripada kira-kira 1,600 responden Melayu memilih media sosial sebagai sumber utama maklumat mereka.

Perkhidmatan pesanan peribadi WhatsApp menjadi aplikasi paling popular dalam kalangan platform media sosial, kata badan kaji selidik itu.

Bagaimanapun, media tradisional masih memainkan peranan besar kerana suku atau 25% daripada responden berkata mereka bergantung pada televisyen sebagai sumber berita.

Daripada semua syarikat penyiaran, Media Prima Television Networks, milik Media Prima Bhd yang dikawal oleh Umno, didapati paling dominan, dengan 40% daripada jumlah penonton tempatan.

TV3, stesen penyiaran bahasa Melayu di bawah Media Prima sekian lama dikecam oleh PH ketika ia masih sebagai pembangkang, kerana liputannya yang hanya berpusat kepada politik Umno, sebelum pilihan raya pada 9 Mei.

Portal berita Internet adalah pilihan 16% responden manakala 13% yang lain bergantung pada “rakan-rakan” mereka.

Akhbar, yang berdepan kejatuhan jumlah pembaca, berada di tempat terakhir pada 10%.

Kaji selidik itu melibatkan 1,622 responden berumur 21 tahun ke atas. Kira-kira 16% berumur antara 21 hingga 29, 19% antara 30 hingga 39, 28% berusia antara 40 hingga 49 dan 21% antara 50 hingga 59, manakala hanya 4% berusia 60 tahun ke atas.

51% responden terdiri daripada lelaki.

Lebih separuh daripada responden adalah di negeri utara, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Majoriti mereka tinggal di bandar (66%), manakala selebihnya adalah dari kawasan pinggir bandar (19%) dan luar bandar (15%).

Kebanyakan daripada 1,622 responden adalah petani, nelayan dan bekerja di kampung (21%), ahli perniagaan (21%) dan penjawat awam (16%). Lebih separuh daripada responden daripada kumpulan B40 (52%) manakala 31% M40 dan 17% T20.

Kajian dijalankan menerusi soal selidik dan temu bual yang dijalankan bermula 1 Jun hingga 30 Julai. – 15 Ogos, 2018.

Iklan
Iklan