Pakatan perlu berhenti jadi tukang cuci, sekarang masa laksana janji perubahan
Iklan
KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) perlu berhenti berkelakuan seperti “pencuci” dan mula bertindak seperti pengubah bagi melaksanakan perubahan dalam negara seperti dijanjikan mereka, kata seorang pakar akademik pada sebuah forum hari ini.
Pembantu profesor di Fakulti Seni dan Sosial Sains University of Nottingham Gayathry Venkiteswaran berkata kerajaan PH sekarang nampaknya lebih banyak memberi tumpuan untuk mencipta gambaran yang kerajaan Barisan Nasional sebelum ini adalah jahat.
“Ya, mereka (BN) bertanggungjawab kepada banyak perkara tetapi saya fikir kita perlu menanganinya dalam persekitaran yang anda berikan maklumat supaya rakyat mampu faham sejauh mana (keseriusan) sesuatu isu dan biarkan rakyat sendiri buat keputusan,” katanya pada forum bertajuk “Suaram’s 100 days Report Card for Pakatan Harapan Administration” hari ini.
Katanya, beberapa kementerian nampaknya terlalu sibuk “membersihkan” kesilapan lampau sehingga tidak memberi tumpuan kepada perubahan dan pembaharuan yang perlu dilakukan.
Gayathry juga berkata pembersihan juga menyebabkan kerajaan berkata yang mereka tidak ada dana mencukupi untuk melaksanakan perubahan.
“Saya fikir ia (sebab) perlu dihentikan kerana ia memang dijangka oleh mana-mana kerajaan baharu. Dan kita semua tahu ia proses yang panjang.
“Jadi mereka benar-benar perlu berkelakuan seperti pengubah dan mengubah pemikiran untuk betul-betul melaksanakan perubahan,” katanya.
Pemangku Pengerusi Bersih Shahrul Aman Mohd Saari pula berkata beliau masih tidak berpuas hati dengan progress yang berlaku tetapi faham yang bukan mudah kerajaan baharu mengambil alih tinggalan pentadbiran lama.
“Kita faham itu, tetapi kita tak boleh biarkan kerajaan bergerak bebas tanpa desakan dan komen (cadangan) rakyat,” katanya kepada wartawan ketika ditemui selepas forum itu.
Bagaimanapun, Shahrul berpuas hati dengan peluang dan ruang diberikan kepada pergerakan masyarakat sivil oleh kerajaan baharu.
“Dahulu jika NGO beri komen, mereka (kerajaan) akan kata NGO pro pembangkang sedangkan kami mengkritik untuk tambah baik perkara dalam negara.
“Ia mungkin berbeza sekarang tetapi kita akan terus betulkan beberapa situasi (perkara),” tambahnya. – 15 Ogos, 2018.