Pemimpin Pakatan hanya berdolak dalih, sama seperti BN, kata kumpulan hak asasi
Iklan
PEMIMPIN Pakatan Harapan meniru pendahulu mereka Barisan Nasional berhubung keengganan mereka menjawab mengenai dasar dan keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang dipersoalkan, kata aktivis dan penasihat Suaram, Kua Kia Soong.
“Kita menyaksikan budaya “berdiam diri” yang sama pernah digunakan DAP untuk mengkritik pemimpin BN di bawah Mahathir 1.0,” kata Kua merujuk kepada Dr Mahathir ketika kali pertama memegang jawatan sebagai perdana menteri.
Kua juga berkata agak mengejutkan apabila tiada ahli atau sesiapa sahaja daripada Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) membantah cadangan Dr Mahathir untuk menswastakan Khazanah, atau membuat satu lagi kereta nasional.
“Mereka perlu memiliki tanggungjawab kolektif akibat kegagalannya,” kata Kua pada sebuah forum 100 hari pentadbiran Pakatan Harapan hari ini.
Beliau turut memberikan beberapa contoh yang mana kerajaan PH dilihat seperti “berdolak dalih” dalam beberapa isu seperti royalti minyak yang dijanjikan kepada Malaysia Timur.
Dalam manifestonya, Putrajaya berjanji untuk memberikan royalti 20% kepada negeri pengeluar minyak.
Bagaimanapun, kerajaan berkata royalti perlu dikira daripada keuntungan bersih dan bukan pendapatan, yang diamalkan dalam industri minyak dan gas.
Sementara itu berhubung Tabung Harapan, Kua berkata sementara kerajaan baharu terlalu cepat menyalahkan BN berhubung hutang RM1 trilion, beliau mempersoalkan mengapa ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Daim Zainuddin dan Robert Kuok yang dikatakan sebagai antara individu paling kaya di Malaysia tidak menyumbang untuk mengurangkan hutang negara.
“Ia menunjukkan bahawa rakyat sanggup menyumbang kepada tabung berkenaan, dua lelaki terkaya dalam negara yang berada dalam Majlis Penasihat Kerajaan tidak menyumbang untuk tabung itu,” katanya. – 15 Ogos, 2018