Iklan

Kerajaan akan bayar balik RM555 juta pada LTAT

Asila Jalil6 years ago17th Aug 2018Berita
Anthony loke mot 170818 tmiseth 02
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata bayaran itu akan dibuat secara berperingkat selepas mengadakan rundingan dengan Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 Ogos, 2018.
Iklan

KERAJAAN akan membayar balik sebanyak RM555 juta kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang dananya sebelum ini digunakan untuk membayar dua syarikat yang mengendalikan operasi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata bayaran itu akan dibuat secara berperingkat selepas mengadakan rundingan dengan Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan dan LTAT.

“Atas semangat simpati dan mengambil kira kebajikan dan kepentingan anggota-anggota tentera, maka RM555 juta yang dibayar oleh LTAT itu akan dibayar balik kepada mereka oleh kerajaaan secara berperingkat.

“Kita akan mengadakan proses rundingan bersama dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertahanan serta LTAT,” katanya kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.

Menurut Loke, wang tersebut digunakan untuk membayar dua syarikat yang mengendalikan operasi AES, iaitu ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd.

Pada 2015, katanya kerajaan lama telah mengarahkan LTAT supaya mengambil alih AES menerusi anak syarikatnya, Irat Properties, dan membayar wang tersebut kepada kedua-dua syarikat terbabit. 

Tambah Loke, wang tersebut digunakan untuk membeli hanya 40 kamera yang dipasangkan di seluruh lebuh raya Malaysia.

“Saya harap anggota-anggota tentera faham kerajaan terdahulu menggunakan dana LTAT untuk membayar dua syarikat yang hanya (membeli) 40 kamera,” katanya. – 17 Ogos, 2018.

Iklan
Iklan