Wan Azizah harap lebih ramai keluar mengundi PRK Balakong, Seri Setia
Iklan
DR Wan Azizah Wan Ismail mahu bilangan yang keluar mengundi lebih besar pada pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia dan Balakong yang bakal diadakan serentak 8 September.
Presiden Pakatan Harapan (PH) itu berkata PRK Sungai Kandis baru-baru ini mendapat sambutan “dingin” daripada para pengundi.
“Saya berharap pada hari pengundian ramai orang akan keluar mengundi berbanding Sungai Kandis. Ia (pengundi) agak dingin ketika itu.
“Kami berharap lebih banyak pengundi akan keluar mengundi pada PRK Balakong dan Seri Setia,” katanya kepada pemberita di Petaling Jaya hari ini semasa proses penamaan calon.
PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos menyaksikan jumlah pengundi yang rendah untuk PH iaitu 49.4%.
Zawawi Ahmad Mughni daripada PKR memperoleh 15,427 undi manakala Lokman Noor Adam memperoleh 9,585 undi yang memberi majoriti 5,842 undi, kata Suruhanjaya Pilihan Raya.
Calon Bebas K. Murthy pula memperoleh 97 undi.
Bilangan keluar mengundi PRK itu merupakan pencapaian kedua terendah direkodkan menurut Timbalan Pengerusi SPR Othman Mahmood selepas rekod pada 2009.
“Jumlah keluar mengundi paling rendah sebanyak 46% dicatatkan pada PRK Penanti (di Pulau Pinang) pada 2009,” kata Othman.
Turut hadir hari ini ialah Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamarudin dan Naib Presiden PKR, Tian Chua. – 18 Ogos, 2018.