Pengundi Seri Setia tidak terkesan kerjasama PAS-Umno
Iklan
KERJASAMA Umno dan PAS pada pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia tidak memberi kesan kepada pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Selangor itu.
Ada yang mempersoalkan alasan parti Islam membuat langkah itu sementara yang lain merasakan orang ramai masih teruja dengan pentadbiran baru di bawah Pakatan Harapan (PH) dan mahu ia mengekalkan kerusi negeri itu.
Pada PRK itu, calon PH Halimey Abu Bakar akan berdepan pertandingan satu lawan satu dengan calon PAS Dr Halimah Ali.
Umno memutuskan tidak bertanding di situ sebagai membalas sokongan yang diberikan oleh PAS di PRK Sungai Kandis.
Semasa pencalonan pada 18 Ogos, pemimpin Umno terkemuka seperti Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad, Ketua Umno Selangor Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Penerangan Negeri, Shamsul Anuar Nasarah muncul memberi sokongan kepada Halimah.
Seorang pengundi, yang hanya mahu dikenali sebagai Zaidin, berkata Seri Setia adalah kubu kuat PH dan beliau yakin pakatan akan mengekalkan kerusi itu pada 8 September.
Penduduk Lembah Subang berkata PAS tidak sepatutnya bekerjasama dengan Umno, seperti yang dikatakan sebelum ini, dan ia menunjukkan kekurangan integriti parti itu.
“Kerjasama itu tidak akan membantu kedua-dua pihak. Kenapa mereka berbuat demikian? Umno sedang kalah dan mungkin akan pupus sepenuhnya pada masa depan.
“Sebelum ini, walaupun ahli PAS berkata mereka tidak akan bekerjasama dengan pesaingnya tetapi sekarang ia sebaliknya. Ia (parti) sudah berubah,” kata lelaki berusia 63 tahun kepada The Malaysian Insight.
Beliau menambah yang kerjasama antara kedua parti itu akan memburukkan keadaan dan tiada manfaatnya.
“Mereka tidak patut melakukannya. Ramai yang membenci Umno dan sekarang juga akan menjejaskan PAS,” kata Zaidin yang mengakui beliau adalah bekas penyokong PAS.
Seorang pengundi di Kampung Lindungan, Ani, juga berkongsi pendapat yang sama dengan Zaidin, dan percaya kerjasama itu tidak akan menarik lebih banyak pengundi kepada pembangkang.
Walaupun tidak banyak kempen dilakukan di kawasan itu, Ani berkata PH masih dapat mengekalkan kerusi kerana mereka mempunyai penyokong besar di kawasan itu.
“PH tidak akan terjejas kerana baru 100 hari lebih ia mengambil alih kerajaan.
“Keterujaan masih dirasai oleh pengundi,” kata lelaki berusia 27 tahun itu.
Dengan kerjasama yang menjadi tumpuan kedua-dua parti sejak Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), seorang penganalisis berkata kerjasama itu tidak akan mengujakan pengundi jika PAS berjaya mengurangkan jumlah undi pada PRK itu.
Wong Chin Huat dari Institut Pulau Pinang berkata jumlah undi yang rendah untuk PAS bermakna ia tidak akan dapat mengembangkan pengaruhnya di Selangor.
“Bagi PAS, bahagian undi yang rendah mungkin mengesahkan yang pengembangannya di Selangor selepas 2008 akan berkurangan.
“Pemimpin PAS yang bercita-cita tinggi mungkin mahu mempertimbangkan semula untuk berpindah ke Kelantan dan Terengganu sehinggalah gelombang nasional kembali - seperti Mohamad Sabu dan Hatta Ramli yang bertanding di Kelantan - atau berpindah ke salah satu parti PH, kemungkinan besar PKR, di pihak Azmin,” katanya. kepada The Malaysian Insight.
Jumlah pengundi keluar yang rendah dijangka berlaku di Seri Setia
Kerusi Seri Setia kosong selepas penyandangnya Shaharudin Badaruddin meninggal dunia akibat kanser kolon pada 2 Ogos.
Dalam PRU14, Shaharuddin memenangi kerusi itu dengan 19,372 undi, memperoleh 29,250 undi dalam pertandingan empat penjuru melawan calon BN Yusoff M. Haniff, Mohd Ghazali Daud (PAS) dan Vigneswaran Subramaniam (Bebas).
Seri Setia mempunyai 52,650 pengundi yang layak, terdiri daripada 55% orang Melayu, Cina (20%), India (24%) dan lain-lain (2%).
Kerusi itu sebelum ini dipegang oleh Nik Nazmi Nik Ahmad daripada PKR selama dua penggal sebelum PRU14.
PRK Sungai Kandis baru-baru ini pada 4 Ogos menyaksikan jumlah pengundi yang rendah hanya 49.4%.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata ia merupakan peratusan kedua paling rendah selepas PRK Penanti pada 2009.
Ani berkata beliau tidak akan terkejut jika perkara itu berlaku kepada Seri Setia pada hari pengundian 8 September.
“Jumlahnya mungkin lebih rendah tetapi PH akan mendapat kemenangan kerana penduduk di sini adalah penyokong kuat.
“Rakyat sabar melihat perubahan yang akan dibawa PH ke kawasan itu,” katanya.
Wong berkata tidak banyak yang berubah sejak PRK Sungai Kandis dan jumlah pengundi yang keluar mengundi dijangka rendah di Seri Setia.
Bagaimanapun, beliau berkata isu utama bukanlah bilangan pengundi yang keluar tetapi bagaimana ia akan memberi kesan buruk kepada PAS.
“Jika ia mengulangi corak Sungai Kandis, PH mendapat sedikit undi, tetapi PAS dan Umno mungkin mendapat lebih rendah daripada undi gabungan mereka dalam PRU14. Ini bermakna kerjasama Umno-PAS tidak mengujakan pengundi,” katanya.
Profesor Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi berkata jumlah pengundi keluar yang rendah dalam PRK adalah biasa kecuali terdapat nama besar yang bertanding.
Beliau berkata sedikit penurunan jumlahnya tidak akan menjejaskan peluang PH untuk menang.
“Peluang pembangkang untuk menang juga akan berkurangan jika jumlah keluar mengundi rendah.
“Bagaimanapun, tiada implikasi besar kepada PH jika terdapat jumlah keluar mengundi yang rendah selain undi yang diperoleh juga akan menjadi lebih rendah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sementara itu, profesor dari Universiti Malaysia Sarawak Jeniri Amir berkata jangkaan jumlah keluar mengundi yang rendah disebabkan oleh keletihan politik.
Beliau menambah pengundi juga kurang berminat untuk membuang undi kerana mereka merasakan PH dijamin menang.
“PRK ini juga dekat dengan PRU14. Bagaimanapun, jumlah pemilih yang rendah akan menjejaskan undian majoriti dan popular.
“Ini penting bagi pihak pembangkang untuk membuktikan PH semakin hilang sokongan,” katanya.
PRK Seri Setia akan diadakan serentak dengan PRK Balakong pada 8 September. – 23 Ogos, 2018.