Halimey mahu tingkat tahap pendidikan belia Seri Setia
Iklan
MENINGKATKAN tahap pendidikan golongan beliau Seri Setia akan jadi keutamaan Pakatan Harapan, kata calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Udangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar.
“Apa yang saya perhatikan, banyak prasarana perlu ditambah baik, terutamanya tadika di kawasan DUN Seri Setia,” kata Halimey pada sidang akhbar hari ini.
“Ada tadika yang uzur dan perlu dinaik taraf segera.”
Tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar juga perlu ditingkatkan, katanya, supaya mereka boleh membaca bahan bacaan berbahasa Inggeris dan seterusnya meningkatkan pengetahuan mereka.
“Keupayaan bertutur dalam bahasa asing juga akan memudahkan seseorang berinteraksi dengan pelancong asing.
“Selain dapat pengetahuan dan berinteraksi dengan orang lain, kemahiran itu juga akan membuka lebih banyak peluang kepada mereka dalam bidang pekerjaan,” katanya.
Menurut Halimey, perpustakaan komuniti di Kampung Lindungan di Seri Setia yang dibina lima bulan lalu juga telah telah membuahkan hasil.
Katanya perpustakaan tersebut kini menjadi pusat kanak-kanak di kawasan itu berkumpul selepas waktu sekolah.
“Perpustakaan ini kami mulakan di kawasan perumahan kos rendah kerana kami tak mahu kanak-kanak ‘hilang’ lepas waktu sekolah sampai ibu bapa tak tahu di mana mereka berada,” katanya.
Perpustakaan ini dibina dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Halimey berkata sebanyak RM700,000 telah dibelanjakan untuk membina perpustakaan yang dibina dari kontena sambil menambah sebuah lagi perpustakaan akan dibina di kawasan Lembah Subang.
Perpustakaan itu kini dipantau oleh seorang penduduk tempatan, Asri Atan.
Menurut Asri, sambutan terhadap perpustakaan berkenaan amat positif dan jumlah pelawat terus meningkat dari hari ke hari.
“Ramai yang datang sini untuk siapkan kerja sekolah. Setiap hari mencecah 60 orang kanak-kanak yang datang,” katanya.
Selain itu, perpustakaan itu juga mempunyai kebun dan hasil tanaman akan diedarkan kepada penduduk setempat. – 23 Ogos, 2018.