Iklan

Pengundi Seri Setia pentingkan kebajikan, bukan janji 100 hari

Asila Jalil6 years ago24th Aug 2018Berita
Halimey abu bakar pkr tmi 02
Calon Pakatan Harapan di PRK DUN Seri Setia Halimey Abu Bakar berkata pengundinya lebih mengutamakan tentang program kebajikan kerajaan negeri untuk rakyatnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 24 Ogos, 2018.
Iklan

PENGUNDI di DUN Seri Setia menggesa calon Pakatan Harapan (PH) Halimey Abu Bakar mengutamakan program kebajikan penduduk tempatan dan membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan itu untuk menaikkan taraf hidup mereka.

Bagi kebanyakan penduduk tempatan, sama ada 10 janji kerajaan baharu dipenuhi dalam tempoh 100 hari pertama atau tidak, ia tidak penting, kata Halimey.

“Selepas lima hari berkempen, kebanyakan penduduk yang kami temui tidak tanya tentang 100 hari, tetapi mereka hanya mahu tahu tentang Inisiatif Peduli Rakyat (IPR),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Halimey merujuk kepada skim di seluruh negeri yang termasuk program bagi golongan berpendapatan rendah dan masyarakat kurang kemampuan seperti bekalan air percuma, dana kesihatan, tuisyen dan sebagainya.

PH baru-baru ini dikritik oleh parti pembangkang Barisan Nasional dan beberapa persatuan sivil kerana gagal memenuhi semua 10 janjinya dalam tempoh 100 hari memegang kuasa.

Tetapi Halimey berkata di Seri Setia, kebimbangan pengundi ialah pada isu kehidupan dan program kebajikan.

Calon Pakatan Harapan di PRK DUN Seri Setia Halimey Abu Bakar beramah mesra dengan pengundi ketika berkempen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2018.

Katanya, beliau sedar masalah di kawasan berkenaan, memetik antaranya vandalisme dan kekurangan infrastruktur perlu diselesaikan segera.

“Saya lihat masalah ini dapat dikurangkan jika kita adakan program yang membabitkan masyarakat.

“Kita perlu sampaikan antara lain ialah mesej kebersihan,” katanya, menambah masalah membabitkan sampah disumbangkan oleh sikap masyarakat.

Halimey berharap untuk mengekalkan kerusi itu di bawah PH pada pilihan raya kecil (PRK) 8 September depan, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos kerana kanser.

Beliau akan menentang calon PAS, Dr Halimah Ali dalam pertandingan satu lawan satu.

“Bila saya berkempen, pengundi beritahu jangan risau dan memastikan saya akan menang. Mereka beritahu tidak peduli tentang janji itu tetapi membangkitkan yang mereka sokong IPR untuk golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Halimey, 46, menjadi ahli PKR sejak 1998 dan aktif dalam sayap Pemuda. Beliau menjadi ketua Pemuda PKR Selangor dari 2006 hingga 2009.

Beliau kemudian dilantik sebagai ketua penerangan PKR Kelana Jaya pada 2015 dan berkhidmat sebagai ahli majlis di Majlis Bandar raya Petaling Jaya.

Halimey, yang membesar di Kampung Lindungan di kawasan DUN Seri Setia berkata, beliau tidak mahu fokus kepada kerjasama Umno-PAS pada PRK itu dan ingin fokus pada kempennya sendiri.

“Bagi saya, Umno dan PAS boleh terus bekerjasama jika mereka mahu. PH komited dengan misi dan visi kami untuk mendahulukan rakyat,” katanya.

Seri Setia mempunyai 52,650 pengundi, terdiri daripada 55% Melayu, India (24%), Cina (20%) dan lain-lain (2%). Kerusi itu sebelum ini disandang oleh Nik Nazmi Nik Ahmad daripada PKR selama dua penggal sebelum PRU14.

PRK Seri Setia akan diadakan serentak dengan PRK Balakong. Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Othman Mahmood berkata tempoh kempen bagi kedua-dua PRK ialah 21 hari. – 24 Ogos, 2018.

Iklan
Iklan