Bayaran BR1M akan dikurangkan sebelum dimansuh, kata Dr Mahathir
Iklan
KERAJAAN akan menjadi tidak popular apabila Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dikurangkan dan dihapuskan sedikit masa lagi, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Namun ia terpaksa dilakukan kerana pentadbiran Najib Razak terlalu “memanjakan” rakyat, kata Dr Mahathir yang menegaskan, rakyat tidak patut rasa berhak mendapat wang tanpa melakukan sebarang kerja.
“Najib (bekas perdana menteri Najib Razak) memanjakan rakyat dengan membuatkan mereka fikir tanpa melakukan sebarang kerja kerajaan akan berikan wang kepada mereka,” kata Dr Mahathir kepada The Malaysian Insight.
“Sekarang kita tidak boleh berikan mereka wang kerana kita tidak mencuri wang, tetapi mereka masih mahu wang (BR1M).”
Malah, nelayan turut menerima RM300 sebulan sedangkan golongan itu bukan penjawat awam, katanya.
Semua ini katanya, hanya untuk membeli rakyat dengan “wang yang dicuri”.
BR1M mula diperkenalkan pada 2012 dan jumlahnya meningkat setiap tahun. Bagaimanapun tahun ini, tiada sebarang peningkatan.
Pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah akan menerima RM1,200, manakala golongan berpendapatan antara RM3,000 dan RM4,000 akan menerima RM900.
Individu berpendapatan RM2,000 ke bawah akan terus menerima RM450. Secara keseluruhannya, sebanyak RM6.8 bilion diperuntukkan dalam bajet tahun ini kepada 7.2 juta penerima.
Pakatan Harapan mengumumkan untuk menggantikan BR1M apabila berjaya mengambil alih kerajaan selepas PRU14.
Menurut Dr Mahathir mekanisme untuk bantuan baharu di panggil Bantuan Sara Hidup Malaysia, yang berbeza sama sekali dengan BR1M. Bagaimanapun masih belum ada sebarang pengumuman berhubung mekanisme baharu itu.
Peringkat ketiga bayaran Bantuan Sara Hidup 2018 dibuat sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha. Bayaran itu termasuk peruntukan RM1.6 bilion yang dibayar kepada 4.1 juta penerima.
“Tetapi rakyat masih mahukan BR1M. Mereka menjadi sangat bergantung kepada kerajaan dan ini adalah tidak baik.
“Mana-mana negara yang rakyatnya berasa kerajaan akan membayar wang walau tidak melakukan apa-apa, ia akan muflis,” kata Dr Mahathir.
Beliau memberi contoh, isi rumah berpendapatan RM4,000 sebulan akan mendapat RM48,000 setahun. Lalu apa perlunya bayaran RM500 (BR1M) kepada isi rumah ini, soalnya.
“Mengapa kamu berikan mereka RM500? Kerana kamu mahu jadi popular. Yang peliknya rakyat terima ini. Tetapi saya tahu di Ipoh, ada rakyat yang enggan terima BR1M.”
Beliau berkata, objektif kerajaan baharu kini adalah untuk menyediakan peluang pekerjaan sebanyak yang mungkin menerusi pelaburan asing dan domestik, untuk menjadikan rakyat Malaysia lebih bebas.
“Kita akan kurangkan sedikit demi sedikit apa yang kita berikan kepada mereka (BR1M) dan jelaskan kepada mereka apa objektif kita.
“Saya sentiasa cakap mengenai tongkat. Buanglah tongkat anda, berjalan di atas kaki sendiri. Barulah anda menjadi kuat dan anda akan jadi lebih baik.
“Jika anda hanya suap rakyat, mereka akan jadi lemah,” tambah Dr Mahathir. – 25 Ogos, 2018