Iklan

Bajet 2019 kecil kerana ekonomi tak berapa baik, kata Dr Mahathir

The Malaysian Insight6 years ago25th Aug 2018Berita
Mahathir mohamad interview 07
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia akan menjana pendapatan menerusi sektor perladangan dan pelancongan dalam usaha untuk melangsaikan hutang negara.  – Gamnar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 25 Ogos, 2018
Iklan

BAJET 2019 akan dikurangkan termasuk dengan memotong bantuan sara hidup secara beransur-ansur, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pada masa sama, kerajaan juga akan meningkatkan pendapatan termasuk melalui kegiatan sektor pelancongan untuk menampung tanggungan hutang, katanya.

Jelasnya hutang sebanyak RM1 trilion menyebabkan negara tidak boleh berbelanja besar, namun beliau yakin langkah berkenaan akan membolehkan ekonomi negara pulih semula.

“Rakyat mesti menerima bahawa keadaan kita tidak berapa baik,” katanya kepada The Malaysian Insight. Bagaimanapun, masih ada sinar di sebalik keadaan kelam ini, katanya.

“Terdapat cara lain untuk mendapatkan wang tetapi lebih penting lagi kita perlu adakan bajet yang kecil,” katanya yang menambah akan tiba masanya untuk semua pihak “ikat perut”.

Tahun lalu, pentadbiran Barisan Nasional membelanjakan RM280.25 bilion untuk belanjawan 2018, yang mana 16% atau RM46 bilion dibelanjakan untuk pembangunan.

Jumlah yang sama, RM46 bilion, diperuntukkan untuk pembangunan dalam belanjawan BN yang jumlah keseluruhannya adalah RM260.8 bilion.

Putrajaya kini melihat kepada sektor pelancongan dan perladangan untuk meningkatkan pendapatan negara.

Dr Mahathir berkata, antara perkara yang beliau lihat untuk meningkatkan ekonomi adalah menggalakkan lebih banyak pelancong ke dalam negara.

“Pelancongan melibatkan pembinaan hotel baharu oleh kita atau pelabur asing, dan menarik pelancong untuk datang ke sini.

“Dan perniagaan pelancongan adalah perniagaan tunai. Malah, pada satu masa, pelancongan dapat menjana jumlah kedua tertinggi kadar tukaran wang asing selepas Petronas,” katanya.

Beliau ditanya bagaimana kerajaan merancang untuk merangsang ekonomi menerusi Bajet 2019 yang akan dibentangkan pada November buat pertama kalinya oleh kerajaan PH.

Industri pelancongan dan hospitaliti menjana sebanyak RM182.4 bilion kepada negara tahun lalu, merangkumi 14.8% daripada keluaran ekonomi negara atau keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun 2016. 

Perkhidmatan hospitaliti dan pelancongan dan produk yang merangkumi restoran, hotel dan pembekal mereka, disebut sebagai penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi negara.

Tambah Dr Mahathir, sektor perladangan masih dalam keadaan baik dan boleh ditingkatkan untuk menjana pendapatan.

“Kita telah melakukannya dengan baik dari segi industri perladangan dan kita sangat selesa dengannya.

“Di mana-mana tanah yang anda miliki, jika anda tanam kelapa sawit anda akan dapat wang. Tetapi apabila anda mahu masuk ke pembuatan, anda akan berdepan dengan matlamat sektor pembuatan.

“Anda perlu kuat untuk bersaing dengan mereka,” katanya.

Beliau juga berkata industri domestik lain seperti getah dan perabot masih baik dan boleh diperluaskan lagi bagi mengeluarkan barangan untuk dieksport.

Eksport kelapa sawit, getah, koko, dan balak kesemuanya berjumlah RM121.99 bilion pada 2016 dan menjadikan 15.5% daripada keseluruhan jumlah eksport.

Sektor perladangan juga membentuk 7.4% daripada KDNK.

Perdana menteri berkata syarikat petroleum nasional Petronas terus menyumbang kepada pendapatan negara walaupun ia tidak mencapai tahap ketika harga minyak dunia mencecah AS$120 setong.

“Kini harganya AS$70, jadi pendapatan kita kurang, tetapi kita masih ada pendapatan. Tetapi anda tidak boleh ambil semua kerana Petronas perlu melabur secara berterusan.”

Perdana menteri turut menyelar kerajaan Barisan Nasional sebelum ini kerana melaksanakan dasar terbuka yang membolehkan produk asing, khususnya kereta, ke pasaran tempatan.

Beliau juga menegaskan, kerajaan mesti melindungi industrinya dan menambah bahawa negara-negara lain mengenakan cukai untuk barangan asing.

“Tetapi di sini kita terbuka. Apa-apa sahaja jenama kereta dalam dunia kita ada.”

Dr Mahathir berkata dasar terbuka ini membunuh Proton yang sebelum ini menguasai 80 peratus pasaran kereta tempatan. Kini saiz pasarannya adalah 17 peratus.

“Rakyat Malaysia perlu ubah minda mereka sebagai pengguna dan mula menerima produk tempatan bagi membolehkan ia menjana pertumbuhan ekonomi.

“Pengguna (perlu) membuat pengorbanan awal seperti yang dilakukan oleh Jepun, seperti yang dilakukan oleh orang Korea dan sekarang China.

“Mentaliti China berbeza, mereka mahu keluarkan barangan yang mereka import dan mereka lakukan dengan baik, kini kereta mereka sama dengan kereta jenama lain,” kata Dr Mahathir.

Ujarnya lagi, rakyat Malaysia perlu menerima hakikat bahawa sekiranya mereka hantar wang ke luar negara dengan membeli barangan luar, negara tidak akan maju. – 25 Ogos, 2018.


 

Iklan
Iklan