Iklan

Kerjasama PAS, Umno untuk lindungi Melayu, Islam dan institusi Raja 

Asila Jalil6 years ago25th Aug 2018Berita
Iklan

KERJASAMA antara Umno dan PAS ada Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia adalah bagi memastikan hak Melayu, Islam dan institusi diraja dalam negara dilindungi, kata Lokman Noor Adam daripada Barisan Nasional. 

Lokman berkata, ceramah yang diadakan malam tadi merupakan detik “bersejarah” kerana ia merupakan antara pertama kali ahli parti Islam dan Umno berkolaborasi dan berkongsi pentas bagi tujuan yang sama - memberi sokongan kepada calon PAS, Dr Halimah Ali. 

Dr Halimah akan berdepan calon Pakatan Harapan Halimey Abu Bakar pada pilihan raya 8 September ini yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin dari PKR pada 2 Ogos lalu akibat kanser. 

Pada PRU14, PH memenangi pertandingan empat penjuru dengan 19,732 majoriti menentang calon BN Yusoff HM Haniff (9,878 undi), calon PAS Mohd Ghazali Daud (4,563 undi) dan calon bebas Dr S. Vignes (217 undi).

“Umno merasakan sudah tiba masanya Umno bekerjasama dengan PAS, duduk semeja, dan berkongsi pentas yang sama bagi memastikan Islam, Melayu dan institusi raja-raja Melayu dilindungi,” katanya pada ceramah di Taman Desaria, Petaling Jaya malam tadi.

Bekas calon pilihan raya kecil Sungai Kandis itu berkata, BN tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 merupakan petanda parti itu perlu bekerjasama untuk menyelamatkan negara. 

Lokman Adam (berbaju hijau), salah seorang pemimpin Umno dan pembela kuat Najib Razak ketika majlis pengumuman calon PAS untuk PRK Seri Setia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2018.

“Mengapa kita perlu berpecah? Sudah tiba masanya kita bekerjasama dalam apa cara yang mungkin selagi ia pertembungan satu lawan satu (menentang kerajaan).

“PAS tetap bersama PAS, dan Umno kekal bersama Umno tetapi adalah penting apabila PAS bertanding, Umno tidak akan ertanding dan apabila Umno bertanding, PAS tidak akan bertanding,” tambahnya. 

Kira-kira 50 orang hadir pada ceramah berkenaan walaupun dalam keadaan ribut dan angin kencang.

PRU14 menyaksikan BN tumbang selepas 60 tahun berkuasa. 

PH memenangi 116 kerusi Parlimen dan mendapat sokongan daripada Warisan Sabah yang mempunyai lapan kerusi dan Upko satu kerusi. 

BN pula tewas 52 kerusi dan hanya menang 79 kerusi. Kerusi Parlimennya menurun kepada 54 selepas kehilangan rakan komponennya dari Sarawak dan beberapa ahli Parlimen Umno yang menjadi bebas. 

Sementara PAS hanya memenangi 18 kerusi Parlimen.

Kerjasama PAS dan Umno yang menerajui Barisan Nasional dengan matlamat mereka untuk melindungi hak Melayu, Islam dan institusi raja boleh mengubah landskap politik Malaysia Baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2018.

Tambah Lokman, ketika enam dekad memegang kuasa, BN tidak pernah membenarkan mana-mana pihak atau kaum mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan. hak Melayu dan institusi raja namun mendakwa ia berubah di bawah pentadbiran kerajaan baharu PH. 

Beliau juga berkata, sekiranya PAS menang pilihan raya kecil, ia akan memberikan mesej kepada PH bahawa mereka perlu menunaikan 10 janji yang mereka mahu tunaikan dalam tempoh 100 hari. 

Sementara itu, Dr Halimah berkata rakyat menjangkakan “keajaiban” akan berlaku apabila mereka mengundi PH pada PRU14 yang membawa kepada kemenangan mereka. 

“Mereka (PH) berjanji untuk mengurangkan kos sara hidup, memansuhkan PTPTN, tiada lagi tol. Semuanya kendengaran hebat. 

“Bagaimanapun selepas 100 hari, mereka kata mereka tidak boleh menunaikannya (janji) dan memberikan banyak alasan,” katanya. 

Dr Halimah akan berdepan calon PKR Halimey Abu Bakar pada pilihan raya 8 September nanti yang akan diadakan serentak dengan PRK Balakong. – 25 Ogos, 2018 

Iklan
Iklan