Iklan

Dr Mahathir senarai sebab kerajaan perlukan Daim

The Malaysian Insight6 years ago25th Aug 2018Berita
Mahathir mohamad interview 01
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak teragak-agak ketika ditanya sama ada beliau masih memerlukan khidmat bekas menteri kewangan Daim Zainuddin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 25 Ogos, 2018.
Iklan

PENGALAMAN, pengaruh dan kerja keras. Bagi Dr Mahathir Mohamad, Daim Zainuddin mempunyai kesemua ciri-ciri tersebut yang sangat diperlukan oleh kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpinnya.

Daim adalah pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan yang dibentuk bagi membantu kerajaan Pakatan Harapan dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya selepas mengambil alih kerajaan Persekutuan.

Beliau juga dihantar sebagai utusan khas ke China dengan terma rujukan khusus dan melapor terus kepada Dr Mahathir.

Mandat Majlis Penasihat Kerajaan berakhir pada Isnin lalu. Daim dalam satu sidang media berkata terpulang kepada perdana menteri untuk menentukan nasib Majlis Penasihat dan dirinya.

Dr Mahathir tidak teragak-agak ketika ditanya sama ada beliau masih memerlukan Daim.

“Beliau sangat berguna setakat ini dan saya rasa beliau masih boleh terus menyumbang kepada kerajaan.”

“Dan saya sedang mengkaji peranan terbaik yang harus dimainkan beliau kerana beliau adalah seseorang yang mempunyai banyak pengetahuan dalam kerajaan, khususnya dalam bidang ekonomi dan kewangan Malaysia,” kata Dr Mahathir kepada The Malaysian Insight. 

Berhubung laporan yang diserahkan kepada Dr Mahathir oleh Majlis Penasihat selepas 100 hari berkhidmat, perdana menteri itu berkata ia pada asasnya adalah mengenai pemeriksaan latar belakang beberapa individu yang difikirkan oleh majlis tersebut sesuai untuk menggantikan individu yang sedang memegang jawatan penting.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad secara jelas menegaskan mengenai keperluan Daim Zainuddin untuk berada dalam kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 25 Ogos, 2018.

“Selain itu, adalah mengenai langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah hutang besar negara dan bekerjasama dengan China untuk menangani hutang ini,” katanya.

Perdana menteri secara jelas menegaskan mengenai keperluan Daim untuk berada dalam kerajaan.

“Mungkin Daim tidak mahu menyertai Majlis Penasihat tetapi beliau sanggup secara sukarela bekerja dengan kerajaan dengan cara lain,” kata Dr Mahathir, sekali gus memberi petanda yang Daim akan diberikan tugas atau jawatan baharu tidak lama lagi.

“Saya tidak boleh kata (berapa lama dia akan diserap ke dalam kerajaan) tetapi anda harus ingat bahawa saya mempunyai Kabinet yang sangat baru tanpa pengalaman. Pengalaman Daim adalah perlu untuk membimbing Kabinet.

Dr Mahathir juga berkata bahawa terpulang kepada Daim jika beliau masih mahu menyumbang melalui peranannya dalam Majlis Penasihat atau sebaliknya.

“Saya fikir Daim harus memimpin dan jika beliau memerlukan sokongan orang lain, terpulang kepadanya.” – 25 Ogos, 2018.

Iklan
Iklan