Iklan

Pulangan cukai dibayar apabila Putrajaya ada duit, kata PM

The Malaysian Insight6 years ago27th Aug 2018Berita
Mahathir mohamad interview 04
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata bayaran balik pulangan cukai akan dibuat apabila kerajaan mempunyai wang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 27 Ogos, 2018.
Iklan

PUTRAJAYA akan membayar balik pulangan cukai apabila kerajaan ada duit, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada mereka yang menuntut pulangan cukai yang dibayar kepada kerajaan Najib Razak.

Cukai terlebih bayar itu, termasuk oleh mereka yang dekat dengan Dr Mahathir, dimasukkan ke dalam akaun wang disatukan dan “mereka membelanjakan wang itu, wang itu sudah hilang,” kata perdana menteri kepada The Malaysian Insight.

Susulan itu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini menanggung tuntutan cukai barangan dan perkhidmatan dan cukai pendapatan yang tidak dibayar, kata Dr Mahathir.

“Kita akan bayar balik wang yang terhutang kepada rakyat tetapi hanya apabila kita ada duit,” kata Dr Mahathir.

Awal minggu lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan kerajaan terhutang lebih kurang RM16 bilion bayaran balik kepada pembayar cukai.

Bayaran balik itu, yang tertunggak sejak enam tahun lalu, terhutang kepada syarikat (RM12.41 bilion) dan pembayar cukai perseorangan (RM3.62 bilion).

Lim juga berkata pentadbiran Najib tidak membayar RM18 bilion sebagai cukai input, yang sepatutnya dipulangkan kepada peniaga di bawah sistem GST, dan menuduh kerajaan sebelum ini “mencuri” wang tersebut.

“Kalau kita bayar semua duit mereka itu, kita tidak akan ada duit langsung,” kata Dr Mahathir kepada The Malaysian Insight.

Perdana menteri kemudian menjelaskan bagaimana kerajaan sebelum ini menekan mereka yang menyokong beliau dan PH.

“Saudara tidak akan faham bagaimana dahsyatnya operasi Najib. Semasa zaman dia, apa yang dia buat ialah menakutkan sesiapa saja daripada membiayai pembangkang.

“Kalau saudara dilihat dekat dengan saya, saudara akan dikunjungi oleh jabatan cukai pendapatan dan mereka akan buat pelbagai tuntutan.

“Walaupun saudara tunjuk bukti sudah bayar penuh, mereka akan kata saudara belum bayar,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, mereka yang dilayan seperti itu diancam dengan tindakan undang-undang dan akaun bank mereka dibekukan.

“Ada banyak orang yang akaun bank mereka dibekukan. Mereka tidak boleh buat apa-apa bisnes.”

Perdana menteri memberi contoh pengerusi eksekutif dan pemegang saham utama Country Heights Holdings Bhd, Lee Kim Yew yang diketahui kenalan rapat beliau.

“Lembaga Hasil Dalam Negeri dakwa seorang dengan RM90 juta tanpa bukti.

“Beliau (Lee) sudah bayar semua cukainya tetapi mereka kata dia mesti bayar sendiri juga.

“Mereka kata ‘mesti bayar, kalau tidak, kita beku akaun awak’. Jadi semua kerja dia dan semuanya terpaksa dihentikan dan macam itulah beliau (Najib) seksa orang.”

Pada Ogos 2017, Lee melangsaikan tunggakan cukainya sebanyak RM22.7 juta termasuk denda yang dituntut oleh LHDN terhadap Country Heights Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh kumpulan hartanah itu.

LHDN sebelum itu menyita akaun simpanan tetapnya bernilai lebih kurang RM126 juta dengan bank milik asing. Tanggungan cukai itu tertunggak sejak tahun taksiran 1997 dan 1998 ketika krisis kewangan Asia. – 27 Ogos, 2018.

Iklan
Iklan