Iklan

Putrajaya dapat tawaran bina ECRL dengan RM10 bilion, kata Dr Mahathir

The Malaysian Insight6 years ago28th Aug 2018Berita
Mahathir mohamad interview 05 (1)
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kerajaan akan mengkaji sama ada kos pembinaan ECRL boleh dikurangkan kepada RM10 bilion. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 28 Ogos, 2018.
Iklan

ADA pihak sedia membangunkan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) pada kos serendah RM10 bilion, kata Dr Mahathir Mohamad, ketika Malaysia dan China masih merundingkan harga akhir projek berharga RM55 bilion itu.

Perdana menteri tidak menamakan pihak berkenaan tetapi berkata Putrajaya sudah tentu akan menimbangkan pilihan yang lebih murah kerana “tidak cerdik” kalau tidak menghiraukannya.

“Ada yang kata mereka boleh buat ECRL dengan RM10 bilion bukannya RM55 bilion. Sesetengahnya syarikat China, ada juga syarikat tempatan.

“Kita perlu berbincang dengan mereka sekiranya ada kemungkinan untuk mengurangkan kos daripada RM55 bilion kepada RM10 bilion. Tidak cerdik kalau kita tidak terima.

“Tetapi kita perlu kaji apakah kita sebenarnya boleh kurangnya kosnya sehingga sebanyak itu,” kata Dr Mahathir kepada The Malaysian Insight.

Malah perdana menteri berkata, kerajaan sedia bayar lebih lagi (daripada RM10 bilion) tetapi sudah tentu bukannya RM55 bilion untuk landasan kereta api dari Kelantan ke Pelabuhan Klang.

“Membayar RM55 bilion untuk sesuatu yang anggaran tertingginya hanya RM30 bilion tidak baik untuk kedudukan kewangan kita.”

Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan kedudukan projek ECRL serta dua projek paip gas yang didukung oleh China bernilai RM9 bilion.

Semasa lawatan rasmi ke China baru-baru ini, Dr Mahathir mengumumkan Putrajaya membatalkan tiga projek itu kerana kosnya melambung yang katanya, berpunca daripada pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masih belum diputuskan sama ada ia akan diteruskan atau dihentikan berikutan masalah kewangan yang dihadapi negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2018.

Beliau bagaimanapun menjelaskan kajian masih perlu dibuat sama ada untuk menangguhkan projek itu atau menyelesaikannya dengan cara lain.

Menjelaskan perbincangan beliau dengan kerajaan China mengenai hal itu, Dr Mahathir memberitahu The Malaysian Insight bagaimana beliau menjelaskan kepada mereka bahawa kerajaan tiada wang dan tidak mampu meneruskan projek berkenaan.

“Sama ada kita batalkan projek (ECRL) atau menangguhkannya atau mengurangkan kosnya. Itu yang hendak kita lakukan.

“Butirannya akan ditentukan pada peringkat pegawai.

“Bagi saya, saya hanya menyebutnya daripada segi prinsip iaitu kita tiada wang dan kita perlu batalkan atau tangguh atau kurangkan kos,” katanya.

Dr Mahathir juga menyalahkan bekas perdana menteri Najib Razak kerana menandatangani kontrak yang berat sebelah dengan China bagi projek-projek berkenaan.

“Tidak seperti kontrak lain, yang dibayar mengikut kerja yang siap, mereka dibayar mengikut masa.

“Kita dapati kerja yang siap hanya 13% tetapi mereka sudah dibayar sehingga 39%. Apa yang kita dapat daripada wang yang sudah kita belanjakan? Ini perlu dirunding semula,” katanya.

Khamis lepas, Najib mempertahankan kerajaannya dengan mengatakan semua kontrak bagi tiga projek itu dibuat dengan bersih.

Beliau juga menggesa Dr Mahathir mendedahkan semua perjanjian projek berkenaan yang akan membersihkan namanya. Beliau juga meminta kerajaan baru menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat projek berkenaan sekiranya Putrajaya merasakan beliau bersalah.

Dr Mahathir bagaimanapun menolak gesaan agar semua dokumen itu didedahkan kepada umum serta menyifatkan RCI tidak akan menyelesaikan apa-apa.

“RCI tidak menyelesaikan apa-apa. Ia hanya untuk menuding jari dan jari-jari itu dituding kepada dia (Najib).

“Tidak perlu adakan RCI. Beliau yang mulakan. Kita tidak akan ada masalah ini kalau Najib bukan perdana menteri,” kata Dr Mahathir. – 28 Ogos, 2018.

Iklan
Iklan