Penduduk PPR Lembah Subang harap skim sewa untuk milik dilaksanakan
Iklan
PENDUDUK PPR Lembah Subang berharap mereka tidak perlu lagi menyewa sebaliknya memiliki rumah mereka sekarang.
Isu tersebut dibangkitkan pada sesi dialog malam tadi bersama calon PAS untuk Pilihan Raya Kecil Seri Setia Dr Halimah Ali.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Noraini berkata ia adalah salah satu isu yang jadi keutamaan ramai penduduk di situ.
Katanya, skim sewa untuk milik telah dirancang pentadbiran terdahulu dan berharap ia akan diteruskan.
“Kami tak lagi mahu sewa. Kami mahu milikinya.
“Jika puan (Dr Halimah) jadi wakil rakyat, mungkin aka nada semak dan imbang dan saya harap isu ini akan jadi keutamaan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohamad Raya Ali, 41, berkata mereka mengundi dengan harapan ada perubahan kepada isu tersebut tetapi ia kekal sama.
“Kami asyik mengundi dan mengundi lagi tetapi kami masih menyewa.
“Orang lama pun desak perkara sama,” katanya.
Beliau menambah yang perkara itu perlu dibangkitkan sesiapa sahaja yang mewakili mereka.
Mengulas isu tersebut, Dr Halimah berkata penduduk juga perlu bersepakat mengesa kerajaan mengubah dasar.
“Kumpul semua suara anda dan buat bantahan kuat,” katanya menarik sorakan daripada hadirin malam tadi.
Ketika ditemui selepas sesi dialog tersebut, Dr Halimah berkata menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan mereka yang kurang bernasib baik mendapat rumah.
“Sudah tentu ia terpulang kepada kerajaan tetapi ia boleh dilakukan,” katanya kepada wartawan.
Seorang lagi penduduk pula berkata terdapat banyak isu yang perlu ditangani melibatkan PPR tetapi tumpuan utama adalah pendidikan kanak-kanak kawasan tersebut.
Dr Halimah menjawab yang beliau akan bertemu semua pihak berwajib untuk meningkatkan persekitaran kawasan tersebut sekiranya parti Islam itu menang.
“Kami akan cari apa yang penting dan perlukan perhatian serta merta,” katanya.
PRK Seri Setia akan diadakan serentak dengan PRK Balakong pada 8 September. – 29 Ogos, 2018.