Mufti Perlis macam nak halalkan zina, kata mufti Perak
Iklan
MUFTI Perak Harussani Zakaria berkata Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin seolah-olah mahu “menghalalkan” zina apabila menyokong penghakiman Mahkamah Rayuan baru-baru ini berhubung anak tidak sah taraf.
Harussani berkata Malaysia tidak perlu “melawan arus” berhubung anak tidak sah taraf kerana perkara itu sudah diputuskan ulama Islam terdahulu.
“Ini pendapat baru yang menjurus kepada menghalalkan zina. Pendapat yang dikeluarkan mufti Perlis seolah-olah menghalalkan zina,” kata Harussani kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
“Saya haraplah ulama haruslah berhati-hati. Kita kena pakai pendapat yang sudah lama dipakai.”
Minggu lalu media melaporkan Perlis menyokong penghakiman Mahkamah Rayuan yang membenarkan anak tidak sah taraf untuk menggunakan nama ayah mereka dalam kemelut perbezaan pendapat keputusan itu semakin mencengkam negara.
Mufti Perlis berkata keputusan mahkamah itu selari dengan fatwa negeri yang diwartakan pada 17 Januari, 2013 membenarkan anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan kepada ayah kandung mereka.
Harussani hari ini berkata hukum yang diputuskan sebelum ini berhubung dengan anak tidak sah taraf dibuat berdasarkan Al-Quran, hadis dan kajian panjang.
“Setelah diputuskan baru pakai. Imam Shafie bukan sebarang orang. Waktu umur 15 tahun sudah diangkat menjadi mufti.
“Pandangan Imam Shafie juga yang paling sederhana. Kenapa kita nak melawan arus? Apakah kita nak cari publisiti,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan pihak yang menentang keputusan mahkamah sebagai menghina institusi kehakiman, beliau berkata ia perlu dilakukan kerana Islam diutamakan dalam Perlembagaan negara.
“Kenapa mahkamah menafikan langsung fatwa? Fatwa di setiap negeri selepas digazet ia menjadi undang-undang.
“Macam mana mahkamah kata mereka tidak terikat dengan fatwa? Bukan kita menghina tapi perbuatan (keputusan mahkamah) tidak betul,” katanya.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum ini dilaporkan berkata pendaftaran anak tidak sah taraf akan berjalan seperti biasa, bergantung kepada rayuan keputusan Mahkamah Rayuan itu.
Ketua Pengarah JPN Mohd Yazid Ramli berkata sebarang perubahan prosedur jabatan itu hanya akan dilakukan selepas Mahkamah Persekutuan mengeluarkan penghakiman saman yang difailkan Jabatan Peguam Negara.
Hakim Abdul Rahman Sebli yang menulis penghakiman panel tiga hakim minggu lepas berkata bidang kuasa ketua pengarah JPN adalah sivil dan kerana itu tertakluk kepada undang-undang sivil.
Sehubungan itu, JPN perlu merujuk kepada Seksyen 13A (2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) untuk membuat keputusan berkaitan nama keluarga atau ayah kanak-kanak.
Penghakiman itu yang meliputi anak tidak sah taraf Islam dan bukan Islam dilakukan susulan rayuan yang difailkan kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dilahirkan lima bulan 24 hari (atau lima bulan dan 27 hari mengikut kalendar Islam) selepas perkahwinan ibu bapanya.
Kanak-kanak itu didaftarkan di JPN dua tahun selepas lahir dan kedua-dua ibu bapanya memohon untuk meletakkan nama ayahnya “MEMK” tetapi JPN mendaftarkan anak itu kepada “bin Abdullah”. – 31 Julai, 2017.