Kita sambut 2 Merdeka tahun ini, kata Dr Mahathir
Iklan
RAKYAT Malaysia patut lebih gembira tahun ini kerana mereka mempunyai dua kemerdekaan untuk diraikan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Pertama, katanya, ulang tahun kemerdekaan negara ke-61 daripada kuasa penjajah dan kedua kemerdekaan daripada kerajaan kleptokratik Barisan Nasional (BN).
“Itu patut jadi sebab untuk rakyat Malaysia meraikan Hari Kebangsaan tahun ini dengan lebih meriah. Kita patut sambut lebih (meriah) tahun ini berbanding masa lepas.
“Dan saya fikir rakyat perlu kibarkan bendera sebanyak mungkin,” kata Dr Mahathir kepada The Malaysian Insight.
Ini adalah kali pertama Malaysia meraikan Hari Kebangsaan di bawah pemerintahan parti berbeza.
Pakatan Harapan diterajui Dr Mahathir menewaskan BN pada pilihan raya umum Mei lalu untuk membentuk kerajaan persekutuan setelah 60 tahun BN memerintah.
Perdana menteri kali kedua itu juga berkata perubahan kerajaan berlaku secara aman, sama seperti saat negara mendapat kemerdekaan daripada penjajah British pada 1957.
Beliau menambah yang Malaysia diselamatkan tanpa keganasan dan pertumpahan darah yang biasa berlaku di negara lain.
“Di negara lain bila mana ada perubahan kerajaan, akan ada keganasan.
“Anda lihat apa yang berlaku di banyak negara seperti Mesir, semua jenis keganasan dan demonstrasi jalanan (berlaku), tetapi kita berjaya mengelaknya,” katanya.
Katanya lagi, semua ini berlaku kerana rakyat memberikan mandat besar kepada PH untuk menggantikan BN.
“Jika kita menang dengan marjin kecil, akan ada masalah besar tetapi rakyat beri kita marjin yang elok. Tak dua pertiga tetapi cukup kuat untuk tidak dinafikan yang kita telah menang,” katanya.
Selepas pertukaran tampuk pentadbiran Putrajaya, kerajaan baharu sibuk membaiki kerosakan dilakukan pentadbiran BN, termasuklah salah urus sumber kerajaan dan wang negara.
Semua kebobrokan ini menyebabkan Dr Mahathir merujuk kepada pentadbiran Najib Razak sebagai kerajaan kleptokratik.
Negarawan berusia 93 tahun itu mengupas isu sama dalam ucapan Hari Kebangsaan yang disiarkan ke seluruh negara malam ini.
“Hidup kita lebih selesa. Kerajaan PH ini akan jamin keadilan bagi semua rakyat, tanpa mengira kaum atau bangsa atau agama,” katanya.
Tambahnya lagi, prestasi negara cemerlang sejak merdeka dan pernah dikenali dunia sebagai Harimau Asia. Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lepas semua ini berubah ditadbir BN.
“Tetapi malangnya pertukaran pemerintahan membawa perubahan dasar dan pendekatan. Sistem demokrasi dan pentadbiran mengikut undang-undang digugur dan diganti dengan cara-cara lain.
“Hasilnya ialah Wawasan 2020 menjadi impian kosong.”
Katanya lagi, rakyat akhirnya mencapai kejayaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tetapi mereka masih perlu bersabar menantikan perosak negara dihukum.
“Seperti kita tidak suka kepada cara-cara pentadbiran dahulu begitu juga kita tidak boleh amalkan cara yang kita benci dahulu. Pentadbiran mengikut undang-undang memerlukan masa untuk dilaksanakan. Tetapi percayalah akhirnya penjenayah akan meraih hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan,” katanya.
Dr Mahathir juga menggesa rakyat bekerja bersama-sama kerajaan untuk memulih kembali negara.
“Tugas kita memang berat. Tetapi tidak ada kuasa yang boleh menghalang gandingan rakyat dengan pemerintah.”
Katanya, kerajaan pimpinannya akan mentadbir dengan baik, berjimat cermah, berdisplin dan mengawal nafsu.
“Walaupun masih sedikit tetapi pencapaian dalam mengurangkan hutang sudah ternampak. Kerosakan jentera pentadbiran telah dapat dipulih semula. InsyaAllah dengan tindakan yang sedang dan akan diambil, negara akan sihat semula. “– 30 Ogos, 2018.