Maklumat kad pengenalan Dr Mahathir rekod awam, kata timbalan menteri
Iklan
TIMBALAN Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed mengatakan maklumat kad pengenalan Dr Mahathir Mohamad adalah rekod awam.
Nur Jazlan berkata, dakwaan Khairuddin Abu Hassan yang Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi melakukan kesalahan mengikut Akta Perindungan Data Peribadi sebagai tidak tepat.
“Polis akan siasatlah. Zahid menteri dan perkara ini merupakan rekod awam,” kata Nur Jazlan kepada The Malaysian Insight di Kuala Lumpur hari ini.
“Maklumat daripada JPN itu rekod awam. Cuma Zahid dedahkannya. Pada saya tidak menjadi isulah.”
Khairuddin membuat laporan polis terhadap Zahid Hamidi atas dakwaan mendedahkan maklumat peribadi Dr Mahathir di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di ibu negara hari ini, yang turut menamakan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Khairuddin mendakwa Zahid berniat jahat dengan mendedahkan salinan kad pengenalan yang dikatakan milik Dr Mahathir dengan nama “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.
Semalam Zahid ketika merasmikan majlis penutup mesyuarat Umno bahagian Kelana Jaya mengungkit sejarah keturunan Dr Mahathir dengan menayangkan salinan kad pengenalan lamanya di telefon bimbit.
JPN berada bawah bidang kuasa kementerian dalam negeri yang dipimpin Zahid.
Sementara itu, Khairuddin berkata Zahid dan JPN melakukan kesalahan bawah Akta Perlindungan Data Peribadi susulan langkah itu.
“Timbalan perdana menteri dan ketua pengarah JPN menyalahgunakan data peribadi untuk agenda peribadi,” katanya. – 31 Julai, 2017.