Giliran PAS bidas pelantikan Petron
Iklan
PELANTIKAN Petron sebagai salah satu pembekal bahan api untuk kenderaan kerajaan mengingatkan semula rakyat Malaysia terhadap amalan nepotisme yang pernah berlaku pada satu ketika dahulu, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.
Timbalan presiden PAS itu berkata pelantikan seumpama itu tidak seharusnya dibenarkan berlaku di bawah pentadbiran baharu Pakatan Harapan (PH).
“Ia mengingatkan rakyat tentang nepotisme yang berlaku pada masa lalu. Ini tidak harus berlaku kembali, terutamannya di bawah pentadbiran PH. Isu ini (Petron) dikaitkan dengan anak (Perdana Menteri) Dr Mahathir Mohamad,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Perpaduan dalam Kepelbagaian hari ini.
Dilaporkan bahawa Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd dilantik sebagai salah satu pembekal bahan api kepada kerajaan. Dua lagi pembekal yang dilantik adalah Petronas Bhd dan Shell Trading Sdn Bhd.
Kementerian Kewangan berkata pelantikan itu dibuat bagi mewujudkan persaingan yang sihat.
Petron dikaitkan dengan anak Dr Mahathir, Mirzan, yang merupakan pemegang saham dan pengarah syarikat induk, Petron Corporation, yang berpangkalan di Filipina.
Pada 2013, Petron Malaysia berkata Mirzan tidak memegang sebarang saham atau jawatan dalam operasi cawangan perniagaan itu di negara ini.
“Berapa banyak saham yang beliau ada dalam Petron? Kerana Petron menafikan yang Mirzan ada saham dalam Petron. Kita harus mengkaji perkara ini,” kata Tuan Ibrahim. – 1 September, 2018.
Berita penuh di sini.