Pakatan jalankan kempen 'kotor' di Seri Setia, kata Halimah
Iklan
CALON PAS, Dr Halimah Ali hari ini menuduh pesaingnya, Halimey Abu Bakar menjalankan kempen “kotor” tanpa memberi contoh terperinci.
Halimah berkata beliau melihat “hadiah” diagih kepada pengundi pada beberapa program semasa kempen calon Pakatan Harapan (PH) itu.
“Kita bercakap tentang ‘reformasi’ kerajaan dan pilihan raya, jadi perlukah anda menggunakan jentera kerajaan untuk kempen pilihan raya kecil ini?” katanya selepas Majlis Ramah Mesra dan Makan Tengahari PAS Pusat bersama Gereja Malaysia di Hotel De Palma Ampang hari ini.
Menurut Halimah, beliau tidak mempunyai wang untuk berkempen mahupun menerima sebarang dana untuk membeli hadiah untuk pengundi.
“Saya tak dapat duit untuk beri benda-benda macam itu. Khemah dan bendera pun semua dari PAS.”
Katanya, ini jelas menunjukkan perlunya satu lagi wakil pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang akan menjalankan semak dan imbang terhadap kerajaan negeri.
Berkenaan debatnya dengan Halimey di Astro Awani, Halimah berkata beliau diminta untuk menyertai selepas jemputan dihantar kepada calon PH itu.
Halimey sebelum ini berkata tidak menerima sebarang undangan bagi program tersebut dan menafikan menarik diri.
“Berkenaan beliau (Halimey) kata tak dapat undangan, saya tak tahu,” kata Halimah.
“Jawapan pada Astro Awani. Saya diberitahu kedua-dua parti dijemput. Nak buat apa Astro Awani menipu?”
Pilihan raya kecil DUN Seri Setia akan diadakan pada 8 September ini. – 1 September, 2018.