Dua tarikh Reformasi
Iklan
ADA dua tarikh tentang Reformasi 1998. Pertama pada 2 September, tarikh Anwar Ibrahim dipecat.
Apa yang paling diingati ialah beritanya, di Buletin Utama TV3 dengan kenyataan pendek Pejabat Perdana Menteri. Orang menjadi bingung. Apakah sebenarnya yang terjadi, hari ini, dua dekad lalu?
Sebenarnya tidak ada apa-apa! Kecuali Anwar dipecat oleh Dr Mahathir Mohamad. Segala sandiwara dan sumpah setia sebelumnya terbukti tidak benar. Terutama pantun Anwar yang maksudnya, “biar telangkup bumi dan langit, setiaku ini takkan berubah.”
Pantun itu diucapkan Anwar dalam perhimpunan agung Umno yang terakhir dia ikuti sebelum dipecat. Pantun itu akhirnya, yakni hari ini, kita tahu adalah kosong.
Sejurus dipecat, Anwar tidak diam. Dr Mahathir, dia lawan. Muncullah beberapa slogan seperti “lawan tetap lawan” dan “rakyat hakim negara”.
Tarikh ‘rasmi’ Anwar melawan dengan melibatkan rakyat ialah pada 20 September 1998: satu lagi tarikh selain yang pertama tadi. Dua tarikh berkenaan diingatkan oleh kawan saya, Fathi Aris Omar yang memang terlibat dan menyaksikan drama Reformasi sejak awal.
Kata-kata, pantun, puisi bahkan ayat kitab suci tidak lagi memberi apa-apa erti dalam politik. Kalau tidak semua, sebahagian besarnya begitulah. Dan saya tidak boleh menyembunyikannya lagi. Hari ini.
Saya tidak mahu bercakap yang manis-manis sahaja. Terutama ke hadapan anak-anak muda.
Mereka harus tahu, dan sedar diri bahawa rakyat – termasuk mereka adalah tentera yang perlu kalau diperlukan. Dalam semua gerakan politik, menggunakan anak-anak muda seperti satu kewajipan. Tanpa kekuatan anak muda, takkan ada pemberontakan.
Di Indonesia, jiran kita, demonstrasi pun tercetus pada rentang waktu yang sama. Di baris paling hadapan – yang perlu dikorbankan – adalah anak-anak muda. Termasuk mahasiswa, yang hatinya panas walaupun putih. ‘Putih’ kerana percaya, kalau mereka terkorban adalah demi bangsa dan tanah air.
Saya masih ingat betul, mahasiswa Universiti Trisaksi, beberapa pun tumpas. Mati ditembak askar. Askar telah digunakan untuk melumpuhkan demonstrasi. Api itu tidak terbendung. Soeharto tumbang.
Dr Mahathir, tidak. Begitulah hebatnya politik Malaysia, terutama orang Melayu, yang bergerak dalam sekam. Mengambil masa hampir 20 tahun daripada tarikh 2 September itu, untuk menggulingkan Umno-BN.
Berlebih-lebih hebatnya apabila mengangkat kembali Dr Mahathir, PM yang dahulunya ditentang, balik ke puncak kuasa. Dr Mahathir telah mencipta sejarah luar biasa. Menjadi satu-satunya tokoh politik yang menjadi PM dua kali.
Anwar pun tidak akan dapat mencipta sejarah sebegitu. Hanya, di pihak Anwar, sejarahnya lain. Mungkin istimewanya daripada Anwar, seorang yang pernah menjadi timbalan perdana menteri, disusuli pula oleh isterinya untuk ke jawatan itu.
Beban Dr Mahathir lebih berat. Dia kini perlu memperbaiki kelemahan, bukan di era Abdullah Ahmad Badawi atau Najib Razak, tetapi di eranya sendiri: 1981-2003. Apa yang beliau kesalkan, boleh beliau baiki segera. Sekarang!
Lawan Dr Mahathir sebenarnya adalah dirinya sendiri. Sama ada dia masih percaya dengan idea lapuk, atau dia sanggup berubah. Misalnya tentang projek kereta nasional yang akhirnya jatuh ke tangan orang yang tak mampu menjayakan syarikat itu walaupun telah mendapat segala bentuk sokongan kerajaan. Berbilion-bilion.
Kalau projek sebesar itu bukan “kroni kapitalisme”, apakah namanya yang lain? Begitu juga projek-projek yang gagal dari Perwaja, MAS dan sebagainya, dan sebagainya. Kepada siapakah perlu dipertanggungjawabkan?
Apa yang berkumandang dalam Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara semalam, mungkin paling enak menyalahkan Melayu – sebab Melayu memang suka dipersalahkan. Apabila dipersalahkan, terlihatlah Melayu itu lemah. Apabila lemah, layaklah Melayu mendapat segala sokongan. Dan sekali lagi, sokongan itu diberikan kepada segelintir Melayu yang tak layak.
Itu bukan dilema Melayu. Itu adalah dilema Dr Mahathir, kerana Melayu sendiri disekat dan ditetapkan kuota kejayaan kepadanya. Kalau merit diamalkan, saya percaya, hampir 99 peratus menteri dalam kabinet Pakatan Harapan (HARAPAN) juga dalam kalangan Melayu.
Sehingga sukar juga untuk kaum lain mendapat kedudukan-kedudukan itu. Tapi, apakan daya, sebijak mana dan semerit apa pun Melayu, dia tidak boleh membolot semua. Dia perlu menyerahkan juga sebahagian haknya kepada orang lain untuk menunjukkan betapa bertolak-ansurnya bangsa ini. Betapa berwarna-warninya negara ini.
Selepas dua dekad Anwar dipecat, saya tidak mendengar kejujuran sebegitu dalam kongres semalam. Solusi yang ditemukan Anwar juga jelas dengan mengambil jalan tengah: kita harus berkongsi – itu bermakna bukannya soal merit lagi.
Kita harus menghormati itu dan ini: kronisme dan nepotisme pun masuk di situ. Apakah pemimpin dan elit politik sanggup membuka gelanggang permainan dengan adil dan terbuka? Mungkin semua itu adalah khayalan indah sewaktu saya muda dahulu.
Kepada anak-anak muda yang sepanjang dua dekad ini telah bertarung, mereka pun sudah tua – sebelum datang generasi baru, yang penuh harapan, yang mungkin tidak sedar bahawa penulis skrip sedang menulis nasib dan takdir mereka.
Perlawanan akan terus bergerak. Dalam kelam atau terang-terang.
Tentang tarikh 20 September pula, akan saya tuliskan apabila tiba masanya. – 2 September, 2018
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.