Jumlah pesalah trafik naik 3 kali ganda bila tiada saman, kata Loke
Iklan
BILANGAN pesalah trafik meningkat tiga kali ganda dalam sejak pengecualian Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sehingga 1 September, kata Anthony Loke.
Menteri pengangkutan berkata dalam tempoh pengecualian bermula 17 Ogos hingga 31 Ogos, jumlah kenderaan melakukan kesalahan dikesan sistem yang kini dikenali sebagai Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) mendadak naik sehingga 15,000 berbanding purata 5,000 sebelumnya.
Tempoh pengecualian 17 Ogos hingga 31 Ogos mencatatkan purata 15,000 imej pesalah melebihi had laju yang ditangkap di bawah sistem itu.
“Ada yang cuba mencabar undang-undang di jalan raya.
“Kali terakhir, purata sebanyak 5,000 tetapi dalam masa dua minggu ia meningkat kepada 15, 000,” katanya kepada pemberita di Pusat Kawalan AES di Kelana Jaya hari ini.
Loke berkata setakat 1 September, tiada pengecualian atau diskaun akan diberikan kepada saman yang dikeluarkan bagi kesalahan yang dibuat di bawah Awas.
Beliau berkata pesalah akan diberi tempoh kompaun selama 60 hari dengan kadar sebanyak RM300.
Mata demerit juga akan diberikan apabila kompaun itu dibayar.
Awas adalah integrasi kamera AES dan Sistem Mata Demerit (Kejara).
“Kerajaan mengambil dasar toleransi sifar terhadap pemandu cuai. Tujuan utama kerajaan adalah untuk mengetatkan penguatkuasaan bagi menghentikan pemanduan secara cuai serta mendidik pemandu lain.
“Kami mahu mendidik mereka dan tidak menghukum pemandu,” katanya.
AES akan memantau dua kesalahan yang melibatkan lampu merah dan melebihi had laju.
Kegagalan mematuhi lampu isyarat menerima hukuman empat mata demerit bagi kenderaan peribadi dan enam mata demerit bagi bas dan kenderaan penghantaran barangan.
Sementara itu, kesalahan melebihi had laju antara 1ksj hingga 25ksj menerima dua mata bagi kenderaan persendirian dan empat mata demerit bagi kenderaan dan bas penghantaran barangan.
Bagi yang melebihi 25ksj hingga 40ksj ialah tiga mata bagi kenderaan persendirian dan lima mata demerit bagi kenderaan serta bas penghantaran barang manakala kesalahan melebih 40ksj memperoleh empat mata bagi kenderaan persendirian dan enam mata untuk kenderaan dan bas penghantaran barangan.
Loke menambah sistem demerit diluluskan oleh kerajaan sebelumnya di Parlimen.
“Ini adalah sistem yang diluluskan sebelum ini tetapi kami mengkaji semula cara untuk memperbaikinya.
“Kami tidak mahu memberikan persepsi kami hanya mahu menghukum pemandu,” katanya.
Loke menambah sejumlah 1,268 saman dikeluarkan dari 1 September hingga 2 September. – 3 September, 2018.