Iklan

Pengguna bimbang kesan jangka panjang SST

Asila Jalil6 years ago4th Sep 2018Berita
Sst voxpop tmikamal 04
Seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Fazlan berkata cukai itu tidak sepatutnya dikenakan kepada makanan kerana ia akan membebankan mereka yang berpendapatan rendah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 4 September, 2018.
Iklan

WALAUPUN dijanjikan harga barang lebih murah dengan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), pengguna masih bimbang tentang kesannya ketika perniagaan mula melaksanakan cukai itu.

Dengan SST mula dikuatkuasakan Sabtu lalu, mereka berkata belum nampak perbezaan harga barangan berbanding dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang digantikan oleh SST.

Bagaimanapun, cukai itu lebih terasa ketika makan di restoran tertentu, kata penduduk Subang Jaya Khairi Zamri, 50.

Katanya, harga tidak turun sejak SST dilaksanakan di restoran India Muslim di Subang Jaya, tempat makan yang sering dikunjunginya.

Katanya, dia bayar lebih mahal untuk hidangan nasi dan ikan dengan “RM2 atau RM3 lebih” daripada biasa, bagi hidangan yang sama.

“Ia jadi beban untuk rakyat. Mereka sepatutnya mansuh saja cukai,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pengguna lain bimbang SST akan membebankan ketika memberi barangan rumah dan makanan, walaupun di restoran yang tidak tertakluk kepada cukai itu.

Seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Fazlan berkata cukai itu tidak sepatutnya dikenakan kepada makanan kerana ia akan membebankan mereka yang berpendapatan rendah.

“Ia agak membebankan bagi sesetengah orang. Jika kami makan dan beli barang yang ada cukai 6%, turut terasa kesannya,” katanya kepada The Malaysian Insight, merujuk kepada cukai perkhidmatan.

Fazlan ditemui ketika sedang makan di restoran rangkaian makanan segera popular bersama rakannya, dan berkata tidak perasan sebarang perbezaan harga untuk makanannya.

“Tetapi saya fikir akan ada kesan jangka panjang. Kerana ia masih awal lagi dan saya belum beli barangan runcit lagi,” katanya.

Cukai satu peringkat itu dikenakan 5% dan 10% untuk jualan dan 6% perkhidmatan menggantikan cukai pelbagai peringkat 6% di bawah GST. – 4 September, 2018.

Baca berita penuh di sini.

Iklan
Iklan