MIC hulur sokongan kepada PAS di Seri Setia
Iklan
PADA minggu ketiga dan terakhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, MIC menghulurkan sokongan kepada calon PAS Dr Halimah Ali pada sebuah majlis bersama masyarakat India di PJS 5 malam tadi.
Timbalan Presiden MIC S K Devamany memberitahu hampir 50 hadirin yang rakyat patut memberikan undi mereka kepada Dr Halimah bagi memastikan wujud semak dan imbang dalam kerajaan.
“Sekarang mengapa saya minta anda semua mengundi Dr Halimah? Kita tak boleh biarkan PH terlalu kuat.
“Perlu ada semak dan imbang. Jika kita beri mereka terlalu banyak kuasa mereka mungkin akan jadi angkuh,” katanya.
Ceramah malam tadi turut dihadiri Naib Presiden PAS Idris Ahmad dan Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid.
Selepas ceramah tersebut, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Raj, 34, mengakui berasa “pelik” melihat pemimpin MIC berkongsi pentas dengan parti Islam itu yang selama ini merupakan musuhnya.
“Saya rasa pelik. Jujurnya, saya tak suka. Mengapa mereka bekerjasama sekarang?” katanya kepada The Malaysian Insight.
Raj berkata beliau tidak kisah siapa akan menang PRK itu, tetapi berharap wakil rakyat terpilih akan memberi perhatian segera kepada penyelenggaraan flat kos rendah di kawasan itu.
“Longkang selalu tersumbat, dinding tak bercat. Kawasan ini sudah lama terabai.
“Setiap kali orang menang, wakil rakyat tersebut tak pernah berjumpa dengan penduduk di sini dan selesaikan masalah kami,” katanya.
Seorang lagi penduduk tempatan, Narayanan, 60, berkata beliau sudah tinggal di kawasan itu hampir 30 tahun tetapi tidak banyak yang berubah.
“Selalu ada masalah dengan lampu jalan dan longkang. Tiada sesiapa yang datang bantu kami,” katanya.
Kerjasama antara PAS dan MIC juga “mengelirukan” seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Veni, 58.
“Terlalu banyak kerjasama sekarang. Saya keliru dengan yang ini juga,” katanya.
Tetapi walau apa pun kerjasama yang wujud, Veni berkata wakil rakyat perlu membawa perubahan dan pembangunan ke Seri Setia.
“Saya harap mereka beri tumpuan untuk selesaikan masalah penduduk,” katanya.
Dr Halimah menentang calon Pakatan Harapan dari PKR, Halimey Abu Bakar. Pengundian dijadualkan berlangsung Sabtu ini. – 4 September, 2018.