Iklan

Ahli akar umbi bantah keputusan unilateral PKR di Pulau Pinang

Amin Iskandar7 years ago2nd Aug 2017Berita
Dr mahathir mohamad jelai 20170330 tmikamal 05
Khabar tentang wujudnya perpecahan dalaman PKR sebelum ini dilaporkan boleh menjejaskan peluang parti itu dalam pilihan raya umum akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2017.
Iklan

CAMPUR tangan kepimpinan PKR peringkat pusat yang membuat keputusan secara unilateral di Kuala Lumpur khususnya berhubung “jawatan lantikan politik” di Pulau Pinang tanpa merujuk pimpinan negeri menerima bantahan ahli akar umbi PKR di negeri itu.

Mereka menyifatkan tindakan itu bertentangan dengan perlembagaan parti dan mendesak satu mesyuarat khas diadakan segera bagi membincangkan perkara berkenaan.

Desakan itu dikemukakan dalam satu petisyen yang ditandatangani 100 ahli parti itu, yang salinannya dilihat The Malaysian Insight.

Petisyen itu menuntut agar PKR “menarik balik segala jawatan politik yang tidak dirunding dan dibincangkan dengan anggota Majlis Pimpinan Negeri Pulau Pinang.”

Melalui petisyen itu, mereka juga merakamkan rasa “amat terkejut dan terkilan dengan keputusan tergesa-gesa dilakukan pimpinan pusat sehingga melanggar perlembagaan parti”.

Fasal 29.1.d perlembagaan PKR memberi kuasa kepada Majlis Pimpinan Negeri untuk “memilih anggota bagi mewakil parti di dalam sebarang kumpulan atau lembaga di peringkat negeri.”

Fasal 29.1.g pula memberi kuasa kepada MPN untuk “memutuskan calon bagi jawatan politik di peringkat negeri kecuali Majlis Pimpinan Pusat memutuskan sebaliknya.”

“Oleh hal yang demikian, kami menuntut satu mesyuarat khas bagi membincangkan perkara yang ditimbulkan seperti di atas dalam masa 14 hari daripada tarikh penerimaan sebelum tindakan seterusnya diambil,” tulis petisyen itu.

Menurut sumber, kebanyakan jawatan lantikan politik di Pulau Pinang seperti senator, ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan jawatankuasa kerja kampung (JKKK) diputuskan pimpinan PKR di Kuala Lumpur tanpa merujuk kepada pimpinan negeri

“Terbaru ialah pelantikan Saifuddin Nasution sebagai penasihat strategi kerajaan Pulau Pinang. Ini satu lagi keputusan bersifat unilateral,” kata sumber yang enggan dinamakan kepada The Malaysian Insight.

Menurut sumber berkenaan petisyen tersebut pada mulanya dihantar kepada Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali pada 16 Jun lalu tetapi tidak mendapat maklum balas.

“Ini menyebabkan kami menghantar peringatan sekali lagi kepada presiden dan timbalan presiden pada 20 Julai lalu menuntut agar satu mesyuarat khas diadakan untuk menyelesaikan perkara ini.

“Sehingga kini permintaan kami agar diadakan mesyuarat khas tidak dilayan” katanya.

Menurut sumber itu juga, tindakan PKR Pusat tidak melayan petisyen yang mereka hantar mencerminkan “cara layanan Kuala Lumpur” terhadap pimpinan negeri selama ini.

Percubaan The Malaysian Insight menghubungi Pengerusi PKR Pulau Pinang Dr Mansor Othman untuk mendapatkan komen berkenaan perkara ini tidak berjaya.

Bagaimanapun Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata beliau akan membawa perkara ini untuk dibincangkan di antara peringkat pusat dan peringkat negeri.

“Saya minta ahli di peringkat akar umbi bersabar. Pengukuhan parti amat penting untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

“Sudah tentu kita sebagai sebuah parti yang demokratik akan mendengar keluhan dan pandangan akar umbi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, selepas ini, PKR akan memastikan lantikan jawatan politik di Pulau Pinang dan negeri lain akan dilakukan secara inklusif.

“Walaupun setiap keputusan yang kami buat sudah tentu sukar untuk memuaskan hati semua pihak,” katanya.

Sebelum ini The Malaysian Insight melaporkan ahli akar umbi PKR bimbang perpecahan dalam parti itu bakal menjejaskan keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

PKR merupakan satu daripada empat parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) bersama Amanah, Bersatu dan DAP.

Parti itu kini memimpin Selangor dan menjadi anggota pentadbiran Pulau Pinang di bawah pimpinan DAP. – 2 Ogos, 2017.

Iklan
Iklan