Iklan

Anwar tolak cadangan jadi presiden UIAM

Asila Jalil6 years ago6th Sep 2018Berita
Iklan

ANWAR Ibrahim mengakui nama beliau dicadangkan untuk menjadi presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tetapi menolaknya.

Beliau berkata buat masa ini enggan memegang mana-mana jawatan dan memaklumkan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau tidak mahu apa-apa jawatan.

“Baru-baru ini saya dicadangkan untuk menjadi Presien UIAM tetapi saya tidak mahu,” katanya pada sesi ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia di Ara Damansara malam ini.

Dua hari lalu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dilantik sebagai presiden universiti tersebut yang mencetuskan pelbagai reaksi dari ramai pihak.

Sebelum menyertai Bersatu dan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Maszlee merupakan bekas pelajar dan kemudiannya menjadi pensyarah di UIAM.

Beliau merupakan menteri pendidikan ketiga yang memegang jawatan presiden UIAM sejak universiti itu ditubuhkan lebih 30 tahun lalu.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan berkata pelantikan Maszlee diperkenan oleh Sultan Pahang.

Anwar juga merupakan presiden UIAM ketika beliau memegang portfolio Menteri Pendidikan.

Beliau berkata selepas PRK selesai, satu lagi pilihan raya akan diadakan di mana lokasi beliau akan bertanding.

Beliau meminta pengundi memberi sokongan di PRK yang akan ditandinginya. – 6 September, 2018.


 

Iklan
Iklan