Pakatan patut syukur peralihan kuasa dibuat secara aman, kata Pemuda Umno
Iklan
PAKATAN Harapan (PH) bersyukur kerana peralihan kuasa berjalan lancar selepas PRU14, kata Pemuda Umno pada ceramah akhir PRK DUN Seri Setia malam tadi.
Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tiada kekecohan berlaku apabila PH menang pada 9 Mei.
Katanya, jika Barisan Nasional (BN) menang PRU14 dan kekal berkuasa, mungkin kiamat jadinya.
“Kerajaan PH sepatutnya bersyukur. Kami semua bersyukur kerana peralihan kuasa berjalan dengan aman. Tidak ada kekecohan, tiada demonstrasi.
“Jika BN menang hari ini, Malaysia akan berdepan hari kiamat. Tetapi kami pastikan semuanya berjalan lancar dan aman,” katanya di Shah Alam, malam tadi.
Seramai kira-kira 200 orang mendengar ucapan daripada pemimpin Pemuda Umno, PAS, Ikatan dan MIC pada hari terakhir kempen.
Dr Halimah Ali (PAS) berdepan calon PKR, Halimey Abu Bakar hari ini selepas kerusi Seri Setia kosong susulan kematian penyandangnya, Prof Shaharuddin Badaruddin kerana kanser pada 2 Ogos.
Asyraf berkata menteri-menteri “menyakitkan kepala” Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Antara contoh yang diberi ialah Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, yang dikritik baru-baru ini susulan pelantikannya sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) awal minggu ini.
Asyraf menyerang kegagalan Maszlee berpegang kepada janji untuk tidak melantik lantikan politik di universiti.
“Tetapi akhirnya hari ini orang yang jadi presiden UIAM ialah ahli Parlimen Simpang Renggam, yang juga menteri pendidikan.
“Ini bukan lagi kerajaan yang mengejutkan. Ini kerajaan penipu.”
Asyraf berkata beliau tidak menyalahkan Dr Mahathir kerana mengekalkan Majlis Penasihat Kerajaan selepas 100 hari pertama kerajaan PH kerana perdana menteri sendiri tidak percaya barisan menterinya.
Dr Mahathir baru-baru ini berkata majlis penasihat itu masih diperlukan kerana ahlinya mempunyai pengalaman luas untuk menyelesaikan isu-isu penting. – 8 September, 2018.