Lega ia sudah berakhir, kata pengundi
Iklan
PENGUNDI di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia menarik nafas lega selepas tempoh berkempen dan pengundian pilihan raya kecil (PRK) selesai pada hari ini.
Tinjauan The Malaysian Insight di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan di Petaling Jaya hari ini mendapati rata-rata pengundi berasa lega kerana merasakan tempoh 21 hari berkempen terlalu lama.
Bagi Matthew San, 59, tempoh kempen sepatutnya tidak perlu selama 21 hari kerana perkara itu meletihkan pengundi.
“Ia tidak sepatutnya mengambil masa yang panjang dan saya fikir semua pengundi merasakan perkara yang sama.
“Namun kita perlu memilih calon yang boleh berkhidmat dan memikirkan juga tentang generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata PRK itu tidak dapat dielakkan ekoran kematian penyandang sebelum ini dan perlu ada pengganti.
San berkata pengundi tidak sepatutnya berasa letih dengan PRK, lebih-lebih lagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) baru sahaja berakhir.
PRK sebelum ini diadakan di Sungai Kandis manakala PRK Seri Setia dan Balakong diadakan secara serentak hari ini.
“Apa pun, kita perlu memastikan keadaan kembali seperti biasa. Kita perlu menunaikan tanggungjawab,” kata San yang berasal dari Sarawak dan telah menetap di Kampung Lindungan kira-kira 30 tahun lalu.
Kerusi DUN Seri Setia kosong susulan kematian Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu akibat kanser.
Calon PKR Halimey Abu Bakar berdepan cabaran dari calon PAS Dr Halimah Ali untuk mengisi kekosongan tersebut.
Seorang lagi pengundi, Rokiah Abas berkata beliau berasa letih dengan kempen yang terlalu panjang dan laporan yang keluar sepanjang tempoh itu.
Katanya pengundi muda mungkin tidak ambil kisah tentang perkembangan kempen tetapi golongan lebih berusia sedar tentang kepentingannya.
“Saya hadir ke beberapa ceramah pada waktu malam tetapi ada juga pihak yang tidak menyukai isi ceramah tersebut.
“Ia terlalu panjang. Saya amat letih dengan berita politik sama ada baik atau tidak,” kata wanita berusia 58 tahun itu.
Berita penuh di sini.