Iklan

Halimey Adun Seri Setia baharu

Asila Jalil6 years ago8th Sep 2018Berita
Halimey abu bakar 080918 tmiseth 03
Halimey Abu Bakar mengalahkan Dr Halimah Ali dengan majoriti 4,027. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 September, 2018.
Iklan


HALIMEY Abu Bakar daripada PKR secara rasmi diumumkan menang Pilihan Raya Kecil Seri Setia mengalahkan calon PAS, Dr Halimah Ali.

Halimey menang 13,725 undi sementara Halimah menang 9698 undi.

Ini menjadikan Halimey menang dengan majoriti 4,027.

Jumlah keluar mengundi untuk PRK Seri Setia adalah 44.1%.

Mengulas mengenai peratusan keluar mengundi yang rendah, Halimey berkata ia mungkin berpunca daripada cuti panjang ditabah dengan cuaca yang kurang baik. 

Hujan mula turun selepas jam 2 petang dan pusat mengundi ditutup ketika hujan renyai pada jam 5.30 petang. 

“Saya jangkakan 60% akan keluar mengundi namun hanya 44% yang keluar. Tetapi saya berterima kasih kepada 44% yang mengundi saya hari ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas pengumuman keputusan PRK itu di Dewan Sivik MBPJ hari ini. 

Beliau juga berkata, faktor beliau sebagai orang tempatan juga menyumbang kepada kemenangannya. 

Halimey, 46 lahir dan membesar di Kg Lindungan. 

Sementara itu, isteri Halimey, Suhati Bakri berkata suaminya bekerja keras sejak memegang jawatan sebagai ahli majlis dan beliau memang layak menang. 

“Ia benar-benar berbaloi.Saya memang teruja dengan kemenangan ini kerana beliau sudah menceburi politik selama 10 tahun sebagai ahli majlis dan telah banyak berkorban,” katanya.

Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya Shaharuddin Badaruddin akibat kanser pada 2 Ogos lalu.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, Shaharuddin mendapat 29,250 undi untuk menewaskan calon Barisan Nasional Yusoff M Haniff (9,878) dan calon PAS Mohd Ghazali Daud (4,563) dengan majoriti 19,372 undi. Calon bebas S Vigneswaran LM Sanasee hanya mendapat 217 undi. – 8 September, 2018

Iklan
Iklan