Iklan

Perpustakaan komuniti Kampung Lindungan tumpuan tua dan muda

Asila Jalil6 years ago10th Sep 2018Berita
Kg lindungan 01
Perpustakaan komuniti Kampung Lindungan yang kini menjadi lokasi pilihan penduduk setempat untuk berkumpul. – Gambar The Malaysian Insight, 10 September, 2018.
Iklan

SEBUAH perpustakaan yang baru dibina di Kampung Lindungan, Petaling Jaya mewujudkan keterujaan di kalangan penduduk tempatan kerana ia mula menjadi lokasi popular bagi masyarakat di sana untuk berkumpul.

Penduduk berkata perpustakaan yang dibina di atas tanah kosong dan bekas tapak bangunan itu, membantu menangani peningkatan masalah remaja di kawasan kejiranan kerana ia kini menyediakan tempat selamat untuk dituju anak-anak selepas waktu persekolahan, memandangkan ramai ibu bapa bekerja dan tidak dapat mengawasi mereka.

Zahir Awang, 50, berkata beliau mendapati semakin ramai pelajar menggunakan kemudahan perpustakaan itu selepas waktu persekolahan.

“Pelajar pergi ke sana untuk membaca, membuat kerja sekolah dan berbincang dengan rakan sebaya mereka.

“Ia dilengkapi dengan komputer yang kebanyakan isi rumah mungkin tidak mampu memilikinya, jadi pelajar suka ke sana untuk membuat penyelidikan mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Zahir menetap di Kampung Lindungan selama 25 tahun dan berkata beliau menyaksikan perubahan positif sejak perpustakaan itu dibina, dengan mengatakan lokasi di mana perpustakaan itu didirikan pernah menjadi tempat remaja berkumpul untuk merokok dan minum arak.

“Tetapi sekarang saya dapati tempat itu lebih selamat dan rasa bagus kerana anak-anak saya di sana membuat kerja sekolah mereka. Ia sesuatu yang baik dapat mengetahui keberadaan mereka dan saya berasa senang hati,” katanya.

Perpustakaan ini terletak bersebelahan tempat letak kereta flat Minangkabau milik PKNS dan beroperasi sejak awal tahun ini.

Ia dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari pada 28 Julai.

Seorang lagi penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Sofea berkata pelajar kini mempunyai pilihan lebih sihat mengenai cara menghabiskan masa lapang mereka.

“Ia selamat untuk kanak-kanak pergi ke sana dan ia sangat positif. Daripada tinggal di rumah dan bermain, mereka dapat memperoleh pengetahuan kerana banyak buku disediakan di sana,” katanya.

Beliau juga berkata masalah sosial jelas berkurangan sejak remaja tidak lagi mempunyai tempat kosong untuk dikunjungi pada waktu malam.

“Tiada lagi bunyi bising pada waktu malam dan kini lebih aman,” katanya.

Perpustakaan yang merupakan inisiatif kerajaan negeri dan usahasama dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, menerima sehingga 60 pengunjung setiap hari.

Penyelia perpustakaan, Asri Atan, 48, berkata ia dibina di Kampung Lindungan khusus untuk membantu perkembangan kanak-kanak di kawasan itu.

“Kami melakukan beberapa penyelidikan, dan mendapati kebanyakan kanak-kanak di sini tidak tahu ke mana hendak ke mana untuk menghabiskan masa mereka.

“Jadi kami fikir ia idea yang baik untuk membina sebuah perpustakaan di mana mereka boleh datang dengan bebas dan menikmati kemudahan itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, selain golongan muda, Asri berkata ramai warga tua dari kawasan sekitar menjadikan perpustakaan itu sebagai tempat yang selesa untuk menonton televisyen, membaca beberapa buku atau bertemu rakan.

Perpustakaan ini juga mempunyai taman yang ditanam pokok herba dengan sayur-sayuran, untuk penduduk setempat.

 “Kami merancang untuk mempunyai sebuah jawatankuasa untuk taman yang akan terdiri daripada komuniti tempatan untuk memastikan ia dijaga dengan baik,” katanya.

Perpustakaan itu mengadakan beberapa acara seperti wayang pacak pada cuti sekolah dan anak-anak juga diajar kemahiran keusahawanan dengan ditugaskan menjaga gerai mini makanan pada acara tersebut.

“Sasaran kami sudah pastinya untuk golongan berpendapatan rendah kerana inisiatif ini akan memberi manfaat kepada mereka dan generasi akan datang,” katanya. – 10 September, 2018.

Iklan
Iklan