Persempadanan semula, tiada motivasi punca peratusan mengundi PRK rendah
Iklan
PERSEMPADANAN semula adalah faktor utama yang menyebabkan peratusan rendah keluar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil Seri Setia dan Balakong Sabtu lepas, kata Institut Darul Ehsan (IDE).
Dalam analisis dilakukan badan pemikir itu, ia mendapati pengundi tidak sedar mereka terlibat dalam PRK kerana persempadanan semula yang dilakukan pada Pilihan Raya Kecil ke-14 (PRU14) lalu.
Trend ini pertama kali dikesan pada PRK Sungai Kandis yang mencatatkan hanya 49% turun mengundi kerana tujuh pusat pengundian baharu ditambah ke kawasan itu.
“Perkara sama berlaku di kerusi Seri Setia apabila satu pusat pengundian dari N40 Kota Anggerik iaitu Taman TTDI Jaya dan dua pusat pengundian dari N39 Kota Damasara iaitu Taman Glenmarie dan Ara Damansara ditambah ke dalam Seri Setia pada PRU14.
“Tiga pusat pengundian ini melibatkan 94 kawasan yang terdiri daripada perumahan, kampung, flat dan kejiranan,” kata Pengurus Kajian Kanan IDE Khairul Ariffin.
Katanya, pengundi turun mengundi pada PRU14 bukan kerana mereka sedar tentang kerusi negeri atau Parlimen mereka tetapi disebabkan semangat pilihan raya dan proses demokratik yang berjalan seluruh negara.
Dalam analisisnya, IDE mengesan lima faktor utama yang menyebabkan peratusan turun mengundi kurang 50% pada kedua-dua PRK tersebut.
Salah satu lagi sebab yang menyumbang kepada peratusan rendah itu adalah pengundi “trauma” apabila mereka terpaksa beratur berjam lamanya untuk membuang undi pada PRU14.
Wujud juga “faktor selesa rasa baik” dalam kalangan pengundi yang menyebabkan mereka tidak mengundi.
Katanya, kebanyakan pengundi yang mengundi berusia dalam lingkungan 40 hingga 60 tahun dan ahli atau penyokong parti tertentu.
“Kebanyakan pengundi atas pagar merasakan mereka tidak ada matlamat besar dalam pilihan raya kecil ini dan menjangka Pakatan Harapan menang.
“Pengundi dalam kategori ini merasakan mereka tidak ada motivasi khusus untuk keluar mengundi kerana Pakatan Harapan akan terus kekal mentadbir Selangor dan Putrajaya (kerajaan persekutuan) sudah bertukar daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan.”
Cuti hujung minggu panjang dan demografi Lembah Klang yang terdiri daripada kawasan bandar dan pinggir bandar turut memainkan peranan peratusan mengundi rendah.
“Demografi penduduk berhampiran pusat bandar dikategorikan sebagai ‘pengundi bijak’ yang tidak hanya bergantung kepada sentimen. Kerana itu psikologi pengundi ini mudah dipengaruhi oleh faktor yang disenaraikan tadi.
“Mereka adalah pengundi yang terdedah kepada isu politik menerusi media cetak, elektronik dan sosial.”
Pada PRK Seri Setia, Halimey Abu Bakar (PH) meraih 13,725 undi menewaskan calon PAS, Dr Halimah Ali yang mendapat 9,698 undi.
Manakala di Balakong, Wong Siew Ki (PH) mendapat 22,508 undi dan calon MCA Tan Chee Teong hanya meraih 3,975 undi. – 10 September, 2018.