Iklan

Polis perlu patuhi Akta Kanak-Kanak, kata Hannah Yeoh

Asila Jalil6 years ago10th Sep 2018Berita
Hannah yeoh 20180910 tmihasnoor 011
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh mengulas isu penahanan anak tiri CEO Cradle Fund selepas merasmikan pameran Sensory Photography Exhibition di Medan Pasar, Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 September, 2018.
Iklan

POLIS perlu mematuhi Akta Kanak-Kanak bagi memastikan hak dua anak tiri arwah ketua pegawai eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd yang kini direman, dilindungi, kata Hannah Yeoh.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu mengulas tentang gambar yang tersebar dalam media sosial yang menunjukkan kedua-dua remaja itu digari.

“Kita memahami bahawa ini merupakan kes jenayah tetapi mereka masih remaja. Kementerian mahu memastikan hak mereka dilindungi dan mereka mempunyai hak seperti orang lain.

“Kita mesti memastikan identiti mereka dilindungi sepanjang proses tersebut,” katanya kepada pemberita selepas pameran ‘Sensory Photography’ di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga perlu mematuhi akta berkenaan dan memastikan ia dilaksanakan.

Beliau turut menyuarakan kekecewaan terhadap penyebaran gambar penahanan dua remaja itu di media sosial dan menggesa orang ramai agar melindungi hak kanak-kanak.

“Anda perlu tahu bahawa mereka belum didapati bersalah lagi, jadi biarkan proses itu berjalan.

“Pada masa yang sama, kita perlu memastikan identiti dan muka mereka dilindungi. Seorang daripadanya baru berusia 14 tahun,” katanya.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat  Hannah Yeoh bergambar bersama pengunjung ketika merasmikan pameran Sensory Photography Exhibition di Medan Pasar, Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 September, 2018.

Pada Sabtu, dua remaja itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan ayah tiri mereka, Nazrin Hassan.

Dua remaja itu, masing-masing berusia 14 dan 16 tahun, ditahan di rumah datuk mereka di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur pukul 4 petang.

Sementara itu, mengulas isu pemecatan pegawai Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman, Hannah berkata polis perlu menyiasat dan memaklumkan perkembangan kes kepada umum.

Katanya Kementerian Dalam Negeri bertindak pantas berhubung kes itu dan menunjukkan mereka memandang serius insiden berkenaan.

“Timbalan menteri telah bertindak dan mengeluarkan kenyataan bahawa pegawai terbabit telah dipecat,” katanya.

Polis telah menahan lelaki berusia 47 tahun itu kira-kira pukul 1 petang tadi di sebuah restoran di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan. – 10 September, 2018.
 

Iklan
Iklan