Iklan

Tentang Umno dan India Muslim

The Malaysian Insight7 years ago4th Aug 2017Editorial
Umno 20170709 tmihasnoor 003
Kebanyakan India Muslim di Malaysia selalu ada di samping Umno tetapi rasa iri, cemburu dan sakit hati menjadikan Umno kawan masa senang yang diam-diam berusaha memastikan parti itu kekal berkuasa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 4 Ogos, 2017.
Iklan

MASYARAKAT India Muslim cukup menonjol dalam sejarah Melayu dan Malaysia sejak zaman Empayar Melaka namun mereka terus kekal duduk di pinggir kaum yang dominan di negara ini.

Mereka berkongsi pegangan agama Islam sama seperti orang Melayu tetapi mereka ada deria hidu lebih tajam, dapat mencium perusahaan dan perniagaan yang jarang diceburi orang Melayu, seperti kedai runcit dan gerai, restoran, pengurup wang dan apa saja berkaitan dengan penerbitan, baik percetakan atau pengedaran buku.

Dan dalam politik serta perkhidmatan awam juga.

Ini barangkali boleh menjelaskan hubungan sayang tapi benci Umno dan juga Melayu terhadap India Muslim — sama ada mereka datang dari Tamil Nadu atau Kerala.

Mereka boleh saja dibenci atau tidak disukai tetapi hakikatnya Umno dan kerajaan tidak dapat berfungsi tanpa mereka. Lihat saja daftar nama mereka yang berketurunan India Muslim dalam kerajaan.

Dr Mahathir Mohamad, Nor Mohamed Yakcop, Ali Hamsa, Reezal Merican Naina Merican dan Azeez Abdul Rahim hanyalah sebahagian kecil daripada masyarakat yang berpengaruh ini. Malah Ketua Setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah berdarah India yang memeluk Islam.

Sebelum ini, seorang gabenor Bank Negara Malaysia juga India Muslim. Macam mana pula dengan rangkaian pasaraya tempatan Kumpulan Mydin yang diberi tanggungjawab oleh Putrajaya mengelolakan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M)? Sama India Muslimnya seperti bucu kedai mamak.

Berat sungguh hendak mengangkat apa yang kelompok ini sudah capai tetapi rasa hormat itu juga diselubungi iri dan dengki melihat bagaimana masyarakat India Muslim boleh jadi kaya di negara ini biarpun merantau jauh tanpa apa-apa kecuali iman yang dikongsi bersama.

Barangkali itulah agaknya sentimen yang Ahmad Zahid Hamidi harapkan apabila beliau menyerang susur galur keturunan Dr Mahathir.

Beliau melontarkannya dengan cukup jelas, seseorang daripada darah keturunan India menyertai Umno dan memperalatkannya selama bertahun-tahun semasa beliau berkuasa.

Bukan untuk orang Melayu tetapi untuk diri sendiri.

Dan dengan hanya beberapa patah perkataan saja, tidak ada orang lain kecuali orang Melayu saja yang boleh dipercayai orang Melayu. Ini kerana mereka kaum yang jujur yang mudah ditipu orang lain, termasuk yang seagama.

Kenyataan itu dibuat hanya beberapa minggu selepas Perdana Menteri Najib Razak melamar kelompok yang sama dengan gula-gula memberikan mereka pengiktirafan status Bumiputera yang akan membolehkan diskaun harga rumah dan keutamaan dalam memegang saham amanah serta terbitan saham.

Apakah tawaran itu juga dianggap sebagai orang India Muslim mengambil kesempatan ke atas orang Melayu? Kita hanya boleh meneka.

Kita juga tertanya-tanya bagaimana sebuah kelompok masyarakat kecil yang berlainan kaum tetapi seagama boleh dianggap lawan apabila tidak selesa dan kawan apabila sebaliknya.

Hakikatnya, kebanyakan India Muslim di Malaysia selalu ada di samping Umno tetapi rasa iri, cemburu dan sakit hati menjadikan Umno sebagai kawan masa senang yang diam-diam berusaha untuk memastikan parti itu kekal berkuasa. – 4 Ogos, 2017.

Iklan
Iklan