Muktamar PAS lulus usul kukuhkan politik Islam-Melayu
Iklan
MUKTAMAR PAS hari ini meluluskan usul mahu parti Islam itu menerajui usaha menyatukan kelangsungan politik Islam Melayu di Malaysia, usul yang dilihat merujuk kepada kerjasama dengan Umno dalam landskap politik selepas pilihan raya umum ke-14.
Usul oleh Dewan Pemuda PAS Pusat itu diluluskan tanpa bahas, bersama lima usul lain, pada hari kedua muktamar tahun kali ke-64 yang berlangsung di Terengganu.
Usul bertajuk “Kesatuan Umat” itu menggesa PAS mengukuhkan semula politik Islam-Melayu. Ia juga mahu PAS mengekang anasir-anasir tidak sihat yang menjejaskan keharmonian politik serta agama, rakyat dan negara.
Dewan Pemuda PAS Pusat mengemukakan usul itu atas kesedaran “wujudnya gelombang perubahan dan kesedaran rakyat Malaysia terhadap politik” yang mahu PAS memimpin perubahan dan kesedaran itu.
Kata usul itu, pada masa ini ada gugatan dan ancaman oleh Pakatan Harapan yang dibayangi DAP terhadap tonggak-tonggak utama negara iaitu Islam, Raja-Raja Melayu, tanah rizab Melayu, Bahasa Melayu dan kerakyatan.
“Sesungguhnya kestabilan negara bergantung kepada kesatuan dan kekuatan kaum majoriti,” kata usul itu, memetik ilmu sosiologi kupasan Ibnu Khaldun, pemikir sosiologi terkemuka Islam.
Dalam pada itu, muktamar juga meluluskan usul bersama Dewan Ulama dan Dewan Muslimat untuk mempertahankan kedudukan Islam dan akidah umat Islam di Malaysia.
Usul itu antara lain mendesak kerajaan agar bertegas dengan “kedudukan istimewa Islam sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan”.
Ia juga mendesak tindakan tegas terhadap kenyataan bersifat anti Islam, termasuk yang memperlekehkan pelaksanaan undang-undang Syariah, selain menggesa kerajaan menyelesaikan isu LGBT berasaskan prinsip Islam.
Usul itu juga mahu kerajaan mengharamkan pertubuhan yang menjalankan aktiviti menyuburkan fahaman yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Empat usul lain yang dilulus tanpa bahas termasuk yang menyentuh soal pasukan bertindak untuk Malaysia Timur bagi mengukuhkan PAS di Sabah dan Sarawak, memantapkan Dewan Himpunan Penyokong PAS yang dianggotai ahli bukan Islam, mengiktiraf sekolah agama dan mengukuhkan Gagasan Sejahtera.
Gagasan Sejahtera ialah kerjasama politik yang dibentuk oleh PAS dengan parti-parti kecil menjelang PRU14 sebagai blok ketiga selain Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. – 16 September, 2018