Iklan

Sabah, Sarawak rakan setara selepas kajian Perjanjian 1963, kata PM

The Malaysian Insight6 years ago16th Sep 2018Berita
Iklan

PUTRAJAYA akan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu yang setara dalam Malaysia selepas kajian terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selesai, kata Perdana Menteri Dr Mahathir.

Katanya, Malaysia Baharu dan kerajaan Pakatan Harapan menyedari apa yang berlaku kepada status Sabah dan Sarawak yang jadi negeri, sejak bersama Singapura bergabung dengan Malaya untuk membentuk Malaysia pada 1963.

“Pengembalian status Sabah dan Sarawak sebagaimana di dalam MA63 memberi kita asas kukuh untuk mengeratkan hubungan ketiga-tiga wilayah,” kata Dr Mahathir dalam ucapannya pada sambutan Hari Malaysia 2018 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, malam ini.

Sambutan itu dihadiri ribuan rakyat yang disertai pemimpin kerajaan dan parti politik serta pemimpin masyarakat.

Dr Mahathir menyifatkan status rakan seangkatan itu sebagai “berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.”

“Pastinya keperluan-keperluan pembangunan Sabah dan Sarawak perlu diberi perhatian kerana masih terdapat daerah-daerah yang mundur dan kelengkapan yang amat daif,” tambah perdana menteri lagi.

“Kajian semula MA63 juga akan membawa kepada penilaian semula beberapa amalan yang telah terlaksana sebelum ini, kata Dr Mahathir, yang berharap penilaian itu dibuat dengan “dalam semangat setia kawan, saling menghormati dan sikap tolak ansur yang tinggi.”

“Tanpa semangat dan sikap ini, kesatuan kita sebagai satu negara dan satu bangsa akan terhakis dan keindahan yang kita kecapi bersama selama ini akan hilang di masa akan datang,” katanya.

Putrajaya akan kembalikan hak Sabah dan Sarawak selaku rakan setara dalam Malaysia, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad malam ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2018.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berjanji Putrajaya akan menunaikan tanggungjawabnya memajukan infrastruktur di Sabah dan Sarawak, mengikut kehendak dan keperluan rakyat di sana.

Namun beliau berharap pemimpin dan rakyat di Sabah dan Sarawak juga memahami, atas dasar timbal balik antara tiga wilayah di Malaysia, bahawa negeri-negeri di Semenanjung juga masih ada yang kekurangan dan memerlukan bantuan kerajaan persekutuan.

Dalam ucapannya juga, Dr Mahathir turut menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018 bersejarah dan menganggapnya sebagai “kemerdekaan dan penggabungan kedua”, selepas 1957 dan 1963.

“Seperti mana tahun 1957 dan 1963 telah meletak tanggungjawab yang besar kepada kita, tahun 2018 turut meletak tanggungjawab yang sama jika tidak lebih besar di bahu kita,” katanya.

Sabah dan Sarawak masih jauh ketinggalan dalam aspek pembangunan walaupun sudah menyertai Malaysia sejak 1963. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2018.

Kunjungan ke Sabah pada hari ini adalah yang pertama bagi Dr Mahathir sejak jadi perdana menteri sekali lagi pada Mei lepas, dan yang pertama juga dalam masa lima tahun.

Pengerusi PH itu tidak turun berkempen di Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-14, dan kali terakhir beliau di Sabah adalah semasa memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kad pengenalan rakyat Sabah.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh berharap sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan dapat dianjurkan di Semenanjung Malaysia pula.

Hari Malaysia mula dijadikan cuti umum pada 2010, dan sejak itu sambutannya diadakan bergilir-gilir antara Sabah dan Sarawak. – 16 September, 2018.

Iklan
Iklan