Iklan

Faktanya tiada siapa didakwa di mahkamah, kata Razak Baginda

Amin Iskandar7 years ago4th Aug 2017Berita
H 90025181
Bekas penasihat perdana menteri, Abdul Razak Baginda menegaskan sekali lagi beliau tidak pernah didakwa di mahkamah Perancis berhubung pembelian Scorpene. – Gambar fail EPA, 4 Ogos, 2017.
Iklan

ABDUL Razak Baginda, yang kembali menjadi tajuk berita baru-baru ini sekali lagi menegaskan beliau tidak pernah didakwa di mahkamah Perancis.

Bekas penasihat Perdana Menteri Najib Razak itu berkata jika peguam Perancis William Bourdon mengatakan sebaliknya, tiada apa yang beliau boleh lakukan.

“Jika hari ini hari Jumaat tetapi orang nak kata hari Khamis, apa boleh kita buat?” kata Razak kepada The Malaysian Insight.

“Kita sudah mengeluarkan kenyataan mengatakan tiada siapa yang didakwa di mahkamah. Jika peguam Perancis itu mengatakan sebaliknya, itu masalah dia.”

Sebelum ini agensi berita AFP melaporkan Razak didakwa di Perancis kerana dakwaan rasuah dalam pembelian kapal selam “Scorpene” pada 2002, sewaktu Najib masih lagi menteri pertahanan.

Dalam kenyataan balasnya Razak menafikan didakwa di mahkamah Perancis sebaliknya terdapat kekeliruan dalam penggunaan istilah dan perbezaan dalam sistem perundangan.

Razak berkata istilah “didakwa” dalam konteks siasatan bermakna meletakkan individu tersebut di bawah “penyiasatan rasmi”.

“Proses perundangan Perancis berbeza dengan proses perundangan Malaysia. Dalam proses perundangan Malaysia seseorang yang disyaki melakukan jenayah disiasat dan jika terdapat bukti mencukupi, individu itu didakwa di mahkamah.

“Perlu ditekankan yang ia siasatan berterusan dan tiada tuduhan formal di mahkamah dibawa terhadap mana-mana individu,” katanya.

Dengan nada kecewa Razak memberitahu The Malaysian Insight hari ini beliau tidak tahu berapa kali lagi perkara ini perlu dijelaskan.

Razak menjadi penasihat Najib ketika perdana menteri memegang jawatan sebagai menteri pertahanan antara 2000 hingga 2008.

Dalam tempoh tersebut, Najib menyelia perjanjian pembelian dua kapal selam Scorpene dan sebuah kapal selam jenis Agosta bernilai €1 billion (RM5 bilion) daripada unit limbungan kapal DCN Perancis, yang dikaitkan dengan Kumpulan Thales, sebuah syarikat teknologi pertahanan di negara itu.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memberitahu The Malaysian Insight pada Rabu beliau tidak bersetuju dengan pembelian kapal selam Scorpene.

Bagaimanapun selepas beliau bersara, Malaysia tetap meneruskan pembelian kapal selam itu.

Siasatan ke atas urus niaga itu dilancarkan pada 2010 susulan aduan kumpulan hak asasi Suaram Malaysia.

Skandal pembelian kapal selam ini timbul pada 2006 selepas seorang wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dikatakan menuntut bayaran upah sebagai penterjemah dalam urus niaga tersebut mati dibunuh di Kuala Lumpur.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Oktober 2008 membebaskan Razak tanpa dipanggil membela diri atas tuduhan bersubahat membunuh Altantuya selepas perbicaraan kes selama 151 hari. – 4 Ogos, 2017.

Iklan
Iklan