Iklan

Umno-BN perlu lawan 'pertabalan' Anwar di PD, kata Khairy

Asila Jalil6 years ago17th Sep 2018Berita
Iklan

BARISAN Nasional (BN) perlu bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson bagi mengelakkan ‘pertabalan’ Anwar Ibrahim di kerusi Parlimen itu, kata Khairy Jamaluddin.

Ahli Parlimen Rembau dari Umno itu membidas kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun yang sebelum ini meminta pembangkang agar tidak bertanding di Port Dickson, sekali gus memberi kemenangan mudah kepada Anwar.

“Umno-BN perlu bertanding. PD bukan kerusi yang mudah untuk dimenangi tetapi kita perlu melawan ‘pertabalan’ politik yang memalukan ini,” katanya menerusi laman Twitter hari ini.

“Pertabalan hanya untuk raja-raja. Dan bukannya Anwar.”

Pada 12 September lalu, Danyal Balagopal Abdullah dari PKR mengosongkan kerusi Port Dickson untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen.

Susulan pengumuman itu, beberapa pemimpin PKR menyatakan rasa terkejet kerana perkara itu tidak pernah dibincangkan kepimpinan parti.

Kain rentang mempromosikan Anwar Ibrahim untuk bertanding di Port Dickson sebagai usaha mengangkat beliau menjadi perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2018.

Aminuddin sebelum ini berkata ia merupakan langkah yang betul untuk membolehkan Anwar bertanding di Port Dickson sebagai presiden PKR bagi mengorak langkah menjadi perdana menteri.

Pengumuman itu juga mencetuskan rungutan orang ramai dan kumpulan aktivis termasuk Bersih 2.0 yang mengeluarkan kenyataan hari ini untuk meminta rakyat Malaysia menjadi lebih kritikal pada PRK tersebut.

Semalam, Stevie Chan yang mendakwa dirinya sebagai penyokong Pakatan Harapan mengumumkan untuk bertanding sebagai calon bebas di PRK Port Dickson.

Chan berkata langkah PD adalah tidak betul dan pasukannya akan bergantung kepada derma orang ramai bagi menjana kempen PRK itu. – 17 September, 2018.

Iklan
Iklan