Iklan

Rise: Ini Kalilah tidak dibiayai kerajaan, kata produser

Asila Jalil6 years ago17th Sep 2018Berita
Rise ini kalilah screenshot 030818
Filem Rise: Ini Kalilah mula ditayangkan di seluruh negara pada Jumaat lalu. – Gambar YouTube, 17 September, 2018.
Iklan

FILEM Rise: Ini Kalilah yang menceritakan tentang detik bersejarah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu tidak dibiayai oleh kerajaan seperti yang didakwa sesetengah pihak, kata produser filem itu Fred Chong.

Chong berkata filem itu mengikut konsep yang sesuai dan krewnya percaya ia merupakan perkara yang betul untuk difilemkan selepas PRU14.

Malah beliau juga percaya ia merupakan tindakan yang betul.

Namun beliau menyuarakan kekecewaan apabila filem tersebut menerima kritikan dan diboikot segelintir pihak yang mendakwa hasil seninya itu ada kaitan dengan kerajaan baharu serta dihasilkan untuk mempengaruhi masyarakat.

“Terdapat juga komen yang menulis perkara buruk termasuk meminta orang ramai memboikot filem ini yang didakwa filem DAP dan dibiayai kerajaan.

“Mereka mendakwa ia merupakan propaganda untuk mempengaruhi anda,” kata Chong kepada The Malaysian Insight.

Beliau percaya komen tersebut dibuat oleh mereka yang masih belum menonton filem tersebut yang ditayangkan di seluruh negara pada Jumaat lalu.

Fred Chong (kiri) menyuarakan rasa kecewa terhadap kritikan segelintir pihak yang mendakwa filemnya sebagai propaganda dan dibiayai kerajaan. – Gambar Finas, 17 September, 2018.

Chong berkata sesetengah komen turut menyuarakan ketidakpuashatian rakyat terhadap kerajaan dan mempersoalkan keputusan mereka memilih kerajaan Pakatan Harapan.

“Inilah komen yang diberikan. Saya berasa sedih mengetahuinya. Kita berasa gembira apabila ada pihak menulis tentang filem ini dan menyatakan rasa suka mereka.

“Tetapi pada masa yang sama, ada juga pihak tidak lagi berasa gembira (seperti PRU14),” katanya.

Rise: Ini Kalilah menceritakan enam kisah pendek yang saling berkait, dengan berlatar-belakangkan situasi PRU14 baru-baru ini.

Antara pelakon popular yang terlibat dalam filem arahan Nik Amir Mustapha, Saw Teong Hin dan Prem Nath itu adalah Remy Ishak, Mira Filzah dan Jack Tan. – 17 September, 2018.
 

Iklan
Iklan