Iklan

20 tahun berlalu, legasi Reformasi gugah pemikiran Melayu

Asila Jalil6 years ago20th Sep 2018Berita
amin iskandar 20180913 tmihasnoor 003
Amin Iskandar berusia 18 tahun ketika Reformasi tercetus, menyifatkannya membuka pemikiran orang Melayu untuk membincangkan soal kebebasan dan keadilan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 September, 2018.
Iklan

HARI ini dalam sejarah September 20 tahun lalu, Reformasi tercetus selepas pemecatan Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan parti pemerintah, mendorong ribuan rakyat memenuhi jalan raya di Kuala Lumpur untuk protes, ratusan orang ditangkap dan dihumban ke penjara.

Kejadian yang dahulunya dianggap duka negara kini dianggap pemula kepada perubahan sudut pandang orang Melayu, kata aktivis dan penyokong yang terlibat sejak awal Reformasi tercetus.

Ia mendorong kewujudan kelompok Melayu yang kritikal dan tidak lagi takut mencabar dan mempersoalkan penguasa, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang enam dekad lamanya memenjara rakyat.

Kini berusia 62 tahun, Abdul Malek Hussin berkata sumbangan terbesar pergerakan Reformasi adalah perubahan pemikiran orang Melayu daripada hanya tertumpu kepada soal kaum dan agama kepada pemikiran inklusif untuk semua.

Katanya pada masa itu, landskap politik Malaysia hanyalah perang antara Umno dan PAS. Perjuangan satunya mengangkat Ketuanan Melayu melampau dan satu lagi menggunakan agama untuk melebar luas matlamat politiknya.

“Tidak ada pilihan ketiga untuk pengundi Melayu. Reformasi membentuk cara berfikir baharu dalam kalangan orang Melayu bahawa nilai politik orang Melayu juga boleh meraikan perbezaan,” kata Abdul Malek kepada The Malaysian Insight ketika wawancara ulang tahun ke-20 Reformasi.

1998 baginya adalah “pembebasan” agung orang Melayu yang mencapai kemuncaknya pada Pilihan Raya Umum ke-14 apabila BN tersingkir daripada kuasa buat pertama kali.

“Sejak itu, orang Melayu sedar yang mereka tak lagi perlu undi parti yang perjuangkan Melayu sahaja atau agama sahaja. Mereka ada pilihan lain,” katanya yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1998.

Abdul Malek Hussin berkata Reformasi 1998 menyedarkan orang Melayu yang mereka ada pilihan politik selain parti yang menggunakan ideologi sempit kaum dan agama. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 September, 2018.

Punca pemecatan Anwar boleh dijejak sehingga Krisis Kewangan Asia 1997 apabila ringgit jatuh menjunam, nilainya jatuh dua kali ganda.

Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu perdana menteri dan wakil rakyat Umno dan BN menolak bantuan luar, tetapi Anwar yang juga menteri kewangan ketika itu mahu mendapatkan bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Pada 2 September 1998, Anwar dipecat daripada semua jawatan dalam kerajaan dan Umno atas dakwaan beliau seorang homoseksual.

Orang Melayu yang ketika itu sudah berang dengan layanan diberikan kepadanya oleh pentadbiran Dr Mahathir, bertambah amarahnya apabila Anwar keluar penjara dengan mata lebam, dipukul ketua polis negara ketika itu, Rahim Noor.

Kesannya, Pilihan Raya Umum 1999 menyaksikan sokongan orang Melayu kepada BN jatuh, tetapi BN masih terus berkuasa kerana undi orang Cina.

Pilihan raya itu juga menyaksikan parti politik kelahiran Reformasi, KeAdilan bertanding buat kali pertama dan menang lima kerusi. KeAdilan kemudian menjadi PKR.

Pemecatan Anwar Ibrahim daripada kerajaan menyebabkan pembentukan PKR, parti yang diterajui isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail sepanjang Anwar dipenjara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2018.

Memecah Ketuanan Melayu

Aktivis pelajar yang ketika itu menyaksikan perubahan sudut pandang rakyat sedang berlaku, mengambil peluang untuk mengangkat naratif berbeza menggesa orang Melayu supaya lebih terbuka menerima budaya dan agama lain di Malaysia.

Khairul Anuar Ahmad Zainudin, yang lebih dikenali sebagai Jonah berkata tindakan kerajaan ketika itu dan caranya menggunakan institusi negara untuk menyokong tindakannya membuka mata ramai orang Melayu tentang kesan sejagat ketidakadilan dan keadilan adalah hak semua orang.

“(Reformasi) membuka mata mereka dan memberi kesedaran tentang perlunya jadi toleran dan politik berasaskan kaum sebenarnya tidak baik. Bagi saya, itulah sumbangan terbesar,” katanya.

Jonah berkata beliau dan rakan-rakannya yang jadi aktivis ketika itu menghabiskan zaman kanak-kanak dan remaja mereka sepenuhnya dalam kepompong masyarakat Melayu.

Ketika Reformasi berlaku, beliau berusia 21 tahun dan menyedarkannya pemikiran perkauman tidak akan memajukan negara.

Khairul Anuar Ahmad Zainudin, atau Jonah berkata tindakan kerajaan ketika itu dan caranya menggunakan institusi negara untuk menyokong tindakannya membuka mata ramai orang Melayu tentang kesan sejagat ketidakadilan dan keadilan adalah hak semua orang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 September, 2018.

Seorang lagi bekas aktivis, Amin Iskandar, pula merasakan Reformasi membantu orang Melayu membuang pemikiran tradisional yang mereka perlu sentiasa setia dan patuh kepada pemimpin.

“Kita patut berterima kasih kepada Dr Mahathir kerana memecat Anwar kerana jika tidak berlaku semua masih akan kekal sama.

“Kesan positif tragedi 1998 adalah ia membuka minda ramai orang terutama generasi muda. Sekarang lebih ramai orang Melayu bercakap tentang perkara seperti kebebasan media,” kata Amin yang ketika itu berusia 18 tahun dan sudah memberi ceramah menyokong Reformasi.

Pengajaran pertama berdemokrasi

Selepas pemecatan Anwar, beliau mengadakan beberapa ceramah di rumahnya di Segambut dan juga melakukan jelajah seluruh Semenanjung Malaysia untuk menjelaskan kejadian itu kepada rakyat.

Veteran PKR Shariffuddin Budin, 58, berkata penyokong Anwar bimbang ramai rakyat akan terpedaya dengan tuduhan liwat terhadap Anwar kerana perkara itu taboo dan sensitif kepada orang Melayu Islam.

Pertuduhan liwat kepada Anwar akan memburukkan namanya kerana beliau dianggap pemimpin yang arif ajaran Islam. Ketika zaman mudanya, Anwar menerajui Angkatan Belia Islam (Abim), pergerakan belia Islam berpengaruh dan dinamik ketika itu.

“Kami terpaksa rancang ceramah harian untuk tengok sama ada rakyat, terutama orang Melayu percaya tuduhan itu.

“Dan bila kami nampak hadirin makin hari makin ramai, kami tahu yang mereka tak percaya (tuduhan liwat),” kata Shariffuddin.

Veteran PKR Shariffuddin Budin berkata rakyat pada 1998 tidak terpedaya dengan dakwaan liwat terhadap Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 September, 2018.

Shariffuddin yang juga dikenali sebagai Hunter berkata orang Melayu sifatnya pemalu sebelum penahahan Anwar, tetapi selepas itu mereka bersemangat untuk memperjuangkan keadilan.

Seorang lagi bekas aktivis pelajar Rahmat Haron berkata Reformasi adalah pengajaran pertama berdemokrasi untuk rakyat tentang mengambil alih pemilikan negara.

“Perubahan yang berlaku pada 1998 dan sekarang pada 2018, tidak pernah jadi soal individu. Ia tak pernah hanya soal Anwar atau Dr Mahathir.

“Ia bukan soal mana-mana orang atau individu tetapi ia soal kolektif di mana semua orang memainkan peranan,” katanya.

Penekanan kepada kolektif berbanding individu sekali lagi dapat dilihat sekarang, tambah Rahmat, dalam kerjasama dua bekas seteru, Dr Mahathir dan Anwar yang bergabung tenaga untuk menyingkirkan BN, Umno dan Najib Razak. – 20 September, 2018.

Iklan
Iklan