Iklan

Umno dan empat lain dapat duit Najib Razak

The Malaysian Insight6 years ago20th Sep 2018Berita
Najib razak 200918 tmiseth 04 (1)
Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini dihadapkan 25 lagi tuduhan melibatkan skandal 1MDB, dengan 21 daripadanya membabitkan pengubahan wang haram berhubung duit RM2.6 bilion.–Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 September, 2018
Iklan

NAJIB Razak dituduh menggunakan wang haram sebanyak lebih RM22 juta sebagai sumbangan kepada Umno, dua syarikat yang dimiliki individu yang dekat dengannya dan seorang ahli taikun hartanah, yang didakwa disonglap dari syarikat 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Lima kertas pertuduhan di Mahkamah Sesyen hari ini menunjukkan bekas perdana menteri itu memindahkan wang keseluruhan berjumlah RM22,649,000 kepada lima pihak antara 2 hingga 14 Ogos, 2013.

Najib didakwa memindahkan kepada Umno wang sebanyak RM20 juta melalui sekeping cek dari akaun peribadinya di AmIslamic Bank Berhad pada 2 Ogos 2013.

Beliau juga memindahkan RM100,000 kepada Umno Bahagian Batu Kawan menggunakan akaun yang sama lima hari kemudian, pada 7 Ogos.

Pada hari yang sama, Najib juga mengeluarkan cek kepada taikun hartanah Lim Soon Peng berjumlah RM246,000. Lim adalah pemilik Titijaya Land Berhad.

Umno dikatakan menerima  wang sebanyak RM20 juta daripada Najib Razak  menerusi sekeping cek dari akaun peribadinya pada 2013. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2018

Orb Solutions Sdn Bhd menerima cek bertarikh 12 Ogos 2013 berjumlah RM2 juta manakala Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd menerima cek berjumlah RM303,000 bertarikh 14 Ogos 2013.

Najib mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan, termasuk 20 yang lain yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Setiap satu pertuduhan ini, jika sabit kesalahan, membawa hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Pada Jun 2017, Sarawak Report pernah mendedahkan maklumat mengenai aliran akaun peribadi Najib dengan AmBank Islamic, termasuk nama mereka yang disebut dalam kertas pertuduhan terhadap bekas perdana menteri hari ini.

Semarak Konsortium dilaporkan dimiliki oleh Omar Mustapha Ong, yang disebut sebagai “penulis utama ucapan Najib melalui syarikatnya Ethos Consulting.”

Orb Solutions pula dikaitkan dengan bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin, yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan berhubung duit 1MDB pada 25 Jun lalu.

Syarikat itu didaftarkan untuk menjalankan perniagaan “pengurusan web dan strategi komunikasi”.

Pada Mei tahun lalu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa Orb Solutions menerima wang daripada Najib untuk menjalankan kempen propaganda di media sosial menyokong bekas perdana menteri itu.

Najib hari ini dihadapkan 25 lagi tuduhan melibatkan skandal 1MDB, dengan 21 daripadanya membabitkan pengubahan wang haram berhubung duit RM2.6 bilion atau AS$681 juta yang masuk ke akaun peribadinya pada Mac 2013.

Dua puluh satu pertuduhan itu terbahagi kepada tiga jenis kesalahan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa Orb Solutions menerima wang daripada Najib untuk menjalankan kempen propaganda di media sosial.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2018

Sembilan tuduhan melibatkan penerimaan wang haram, tujuh tuduhan mengenai pemindahan wang haram kepada pihak lain dan lima tuduhan tentang menggunakan wang haram.

Najib juga dikenakan empat lagi tuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, kali ini melibatkan penubuhan dan aktiviti 1MDB.

Najib sebelum ini dihadapkan dengan tujuh pertuduhan berhubung dana RM42 juta yang didakwa diseleweng daripada dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB, melibatkan kes pecah amanah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.

Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan Februari tahun depan, melibatkan tiga tuduhan mengikut Kanun Keseksaan, tiga di bawah Amla dan 1 di bawah Akta SPRM. – 20 September, 2018
 

Iklan
Iklan