Polis sasar bahagian Umno didakwa terima duit dari 1MDB
Iklan
BEBERAPA Bahagian Umno sedang disiasat di bawah akta penggubahan wang haram kerana didakwa menerima wang daripada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas pengerusi perhubungan Umno Kelantan Mustapa Mohamed malam tadi mengesahkan bahawa beliau dan beberapa pemimpin Umno negeri itu yang lain dipanggil untuk soal siasat oleh polis berhubung dana yang didakwa diterima daripada 1MDB.
Mustapa keluar Umno pada Selasa.
The Malaysian Insight juga melihat satu notis yang dihantar kepada Umno Bahagian Batu meminta pemimpin bahagian itu untuk tampil menghadiri soal siasat di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial minggu depan.
Sumber dalam pasukan petugas 1MDB mengesahkan bahawa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang berusaha untuk menuntut semula semua wang yang didakwa dicuri daripada 1MDB.
“Kami menjejak setiap sen yang diambil daripada rakyat berhubung dengan 1MDB.
“Setiap sen tidak kira siapa yang dapat dan di mana wang itu,” kata sumber berkenaan ketika ditanya adakah Umno dan ahlinya sedang disoal siasat.
Semalam, bekas presiden Umno Najib Razak didakwa atas empat tuduhan rasuah mengikut Akta SPRM dan 21 lagi pertuduhan di bawah akta penggubahan wang haram.
Daripada kertas pertuduhan, dipastikan bahawa Umno, pemaju hartanah dan dua syarikat lain antara penerima keuntungan haram daripada bekas presiden parti itu dengan parti Melayu berkenaan menjadi penerima terbesar, menerima RM20 juta pada 2 Ogos, 2013.
Wang itu dipindahkan daripada akaun peribadi Najib di Bank AmIslamic.
Sumber dalaman parti memberitahu The Malaysian Insight bahawa siasatan masih belum selesai dan lebih ramai pemimpin bahagian akan dipanggil, dan itu mungkin antara mengapa beberapa pemimpin keluar parti, baru-baru ini.
“Mereka cuba untuk adakan rundingan dengan parti pemerintah sebelum pihak berkuasa dapatkan mereka,” kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Adam.
“Tok Pa keluar Umno selepas disoal siasat oleh polis selama tiga hari.
“Beliau diberi pilihan keluar parti atau berdepan akibat siasatan terhadapnya.”
Setiausaha Agung Umno Annuar Musa semalam berkata Mustapa disoal siasat oleh pihak berkuasa, menambah ahli Parlimen Jeli itu tidak keluar parti kerana hala tuju baharunya, atau kerana kerjasama dengan PAS.
Bekas pengerusi perhubungan Umno Kelantan itu dalam satu kenyataan berkata beliau bekerjasama dengan polis yang menjalankan tugas dengan profesional.
Katanya, beliau akan terus membantu siasatan polis.
Bukan Mustapa saja yang keluar parti itu minggu ini. Sehari selepas Mustapa melangkah keluar, pemimpin veteran Umno Sabah yang juga Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman juga meninggalkan parti itu, mendakwa ia gagal mengembalikan hak Sabah.
Lebih ramai ahli Parlimen dijangka keluar Umno dalam tempoh beberapa minggu akan datang. Satu senarai nama 17 ahli Parlimen Umno yang berpotensi keluar parti kini beredar di media sosial.
Bagaimanapun, beberapa antara mereka menafikannya, dengan bekas menteri Nazri Aziz dan Khairy Jamaluddin berkata mereka akan kekal dalam Umno.
Sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap 1MDB yang masih berjalan, pihak berkuasa juga membekukan akaun Umno. – 21 September, 2018.