Iklan

Aktivis pelajar menempa sejarah dalam reformasi

Asila Jalil6 years ago21st Sep 2018Berita
Whatsapp image 2018-09-12 at 1.25.23 pm  full  full
Gerakan reformasi yang tercetus mengubah lanskap politik tanah air selepas penahanan bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim pada 1998. – Gambar AFP, 21 September, 2018
Iklan

MEREKA sedang belajar jurusan kejuruteraan aeroangkasa dan ekonomi tetapi memilih berhenti belajar untuk jadi sebahagian daripada gerakan demi perubahan yang buahnya dipetik 20 tahun kemudian.

Bagi mereka yang menjadi mahasiswa pada 1998, gerakan Reformasi yang tercetus selepas pemecatan Anwar Ibrahim dari kerajaan membuka mata mereka kepada politik di Malaysia.

Tempoh 18 hari antara pemecatan Anwar pada 2 September dan penangkapannya pada 20 September penuh dengan siri ceramahnya yang kemudian membawa kepada tunjuk perasaan besar-besaran di Kuala Lumpur beberapa jam sebelum penangkapannya.

Rahmat Haroun, ketika itu berumur 21 tahun, berkata mahasiswa Malaysia tergoda dengan tunjuk perasaan anti Soeharto di Indonesia yang berlaku beberapa bulan sebelum itu. Pemecatan Anwar jadi pemetik api yang membakar jiwa mereka.

Tempoh 18 hari antara pemecatan dan penangkapan Anwar Ibrahim pada 20 September penuh dengan siri ceramahnya yang kemudian membawa kepada tunjuk perasaan besar-besaran di Kuala Lumpur.– Gambar AFP, 21 September, 2018

Rahmat ketika itu dengan polosnya percaya tunjuk perasaan menentang kerajaan Malaysia di bawah Dr Mahathir Mohamad pada masa itu akan membebaskan Anwar.

“Saya naif memikirkan bahawa demonstrasi boleh menjatuhkan kerajaan. Bahawa dengan hanya menunjuk perasaan, mungkin setengah tahun, kerajaan akhirnya akan mengalah,” katanya dalam wawancara sempena ulang tahun ke-20 gerakan Reformasi 1998.

“Itu naif. Tetapi itulah yang ada dalam fikiran saya pada masa itu,” kata Rahmat, yang pada masa itu belajar ekonomi di Universiti Malaya tetapi memilih berhenti pada semester akhir.

Katanya, beliau juga terkesan selepas membaca buku Dua Wajah oleh Syed Husin Ali mengenai pengalaman ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Syed Husin kemudian jadi timbalan presiden PKR, parti politik yang lahir daripada episod September 1998 itu.

Ceramah 18 hari

Mahasiswa kejuruteraan aeroangkasa, Khairul Anuar Ahmad Zainudin, atau dikenali dalam kelompok aktivis sebagai Jonah, berkata siri ceramah 18 hari itu telah membina gelombang kebangkitan rakyat yang turun ke jalan raya pada 20 September 1998.

Dalam masa 18 hari itu, apabila Anwar berulang-ulang kali menjelaskan pemecatannya kepada rakyat, perkataan “reformasi” masuk ke dalam perbendaharaan kata politik Malaysia.

“Anwar berjaya membuatkan orang macam saya sokong agenda Reformasi. Beliau menghuraikan dan menjual idea itu kepada rakyat,” kata bekas pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berhenti belajar kerana politik itu.

Jonah ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri selama 23 hari pada 2001.

“Itu satu seksaan mental,” katanya, mengulas penahanan tersebut.

Khairul Anuar Ahmad Zainudin, atau dikenali dalam kelompok aktivis sebagai Jonah pernah ditahan selama 23 hari di bawah ISA.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 September, 2018

Layanan kerajaan terhadap Anwar, yang dipukul semasa dalam tahanan, dan penangkapan penunjuk perasaan juga jadi titik perubahan kepada ibu bapanya – dan banyak pengundi Melayu lain – yang sekian lama menyokong Umno.

“Bagi ayah saya, terutamanya, sejak hari itu, dia mula meninggalkan Umno. Dia aktif tetapi hanya di peringkat cawangan.

“Saya fikir dia tidak boleh terima anaknya ditangkap,” kata  Jonah yang pada masa itu berumur 24 tahun.

Amin Iskandar, yang ketika itu berumur 18 tahun, sedang menuntut di peringkat matrikulasi untuk kursus perakaunan juga di UPM. Beliau hampir tidak tahu apa tentang politik atau aktivisme sebelum Reformasi meletus.

Namun kejatuhan Presiden Soeharto di Indonesia pada Mei tahun ini jadi sumber ilham kepada pelajar di Malaysia untuk menyokong Reformasi, empat bulan kemudian.

“Kita ambil maklum apa yang berlaku di Indonesia, gerakan yang diketuai oleh mahasiswa dan bagaimana mereka berjaya menyingkirkan Soeharto. Kami sedikit sebanyak terpengaruh dengannya.

“Kemudian Anwar dipecat dan penyokongnya melancarkan gerakan Reformasi. Banyak mahasiswa pada masa itu ikut sama.”

Amin Iskandar mengakui penyertaannya dalam gerakan reformasi banyak membuka matanya tentang lanskap politik tanah air.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 September, 2018

Amin mengaku beliau menyertai gerakan itu dengan begitu saja tanpa banyak berfikir apa-apa, namun akhirnya memetik banyak pengajaran bermakna tentang politik dan negara.

“Lama-kelamaan, ia bukan lagi tentang Anwar. Memang ada ketidakadilan dan rakyat Malaysia juga mula merasainya,” katanya.

Dua puluh tahun kemudian

Selepas pemecatannya, Anwar mengadakan ceramah di kediamannya di Bukit Damansara sebelum memulakan jelajah ke seluruh negara untuk menjelaskan nasib dirinya. Amin, Jonah, Rahmat dan banyak lagi aktivis pelajar mengikut ceramah itu setiap hari.

Ceramah tersebut dianjurkan oleh penyokong kuat bekas timbalan perdana menteri itu yang mahu membersihkan nama beliau daripada tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Tetapi keluarga Anwar tidak setuju dengan idea menjelajah ke seluruh negara. Mereka tidak mahu beliau meninggalkan rumah, takut-takut kalau ditangkap.

Veteran PKR, Sharifuddin Budin, 58, berkata ada pertembungan pandangan antara penyokong dan keluarga Anwar.

Veteran PKR Sharifuddin Budin yang turut aktif dalam gerakan reformasi pada 1998. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 September, 2018

“Dengan begitu banyak orang datang setiap malam (ke rumah di Bukit Damansara), kami (para penyokong) merasakan beliau sepatutnya keluar rumah (bercakap dengan lebih banyak lagi orang).”

Anwar akhirnya meyakinkan keluarganya untuk membenarkan beliau mengadakan ceramah di luar rumah. Beliau memulakan ceramah jelajahnya yang pertama di Kampung Baru, sebelum menjelajah ke negeri-negeri.

Ada rancangan untuk beliau ke Sabah, Sarawak dan Labuan tetapi itu tidak pernah berlaku kerana beliau kemudiannya ditangkap, kata Abdul Malek Husin, yang kenal Anwar sejak zaman beliau dengan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Abdul Malek, 62, berkata penangkapan Anwar adalah kesilapan kerajaan kerana ia menambahkan sokongan rakyat kepadanya.

Abdul Malik berkata penangkapan Anwar oleh kerajaan hanya akan menambahkan sokongan rakyat kepadanya.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 September, 2018

Tanpa sokongan itu, cita-cita untuk perubahan tidak akan pernah berkembang.

Pada ulang tahunnya yang ke-20, tuntutan Reformasi itu akhirnya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional, juga dengan peranan tokoh yang jadi pusat meletusnya kebangkitan dua dekad lalu – Dr Mahathir.

Namun tidaklah pula bermakna perjuangan itu sudah selesai, kata Sharifuddin, kerana kerajaan harus sentiasa didesak untuk melakukan pembaharuan.– 21 September, 2018

Iklan
Iklan