Iklan

30 penjawat awam kanan naik pangkat kerana sokong BN?

The Malaysian Insight6 years ago23rd Sep 2018Berita
Prime minister office 170917 tmihazmizar 001
Putrajaya diminta menyiasat kenaikan pangkat kira-kira 30 pegawai kanan sebelum PRU14, dipercayai ada kaitan dengan sokongan kepada kerajaan BN. – Gambar fail EPA, 23 September, 2018.
Iklan

PUTRAJAYA diminta menyiasat kenaikan pangkat hampir 30 pegawai kanan kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dipercayai sebagai ganjaran kerana menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).

Kenaikan pangkat “secara luar biasa” itu dibawa ke pengetahuan kerajaan baharu melalui satu surat dialamatkan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Surat dilihat The Malaysian Insight itu mengandungi 19 daripada 30 penjawat awam kanan yang dinaikkan pangkat.

Dokumen berkenaan ditandatangani “satu kumpulan mewakili pegawai tadbir dan diplomatik (PTD)” dan disahkan oleh tiga sumber.

Menurut surat tersebut, kenaikan pangkat pegawai kumpulan pengurusan tinggi itu berlaku dalam tempoh empat bulan sejak Januari lalu.

“Kami ingin mencadangkan supaya satu jawatankuasa penyiasat ditubuhkan bagi meneliti salah guna kuasa dan penyelewengan ini yang menjejaskan integriti perkhidmatan awam, khususnya JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam),” kata surat bertarikh 10 Ogos itu.

Surat itu juga mendakwa terlalu ramai pegawai tadbir diplomatik Gred Jusa yang dinaikkan pangkat khas untuk penyandang (KUP) antara Januari dan Mei 2018 lalu, melebihi jumlah bagi tempoh yang sama pada tahun-tahun sebelumnya.

Pangkat khas untuk penyandang ialah jawatan yang diwujudkan khas bagi individu berkenaan antara lain kerana tangga gajinya melebihi yang ditetapkan untuk jawatan hakiki yang disandang.

“Tidak pernah dalam sejarah Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam sebegitu ramai golongan Jusa PTD dinaikkan pangkat secara KUP,” dakwa surat itu.

Dalam beberapa kes yang jadi perhatian, pegawai memegang jawatan Jusa B dinaikkan pangkat ke Jusa A, dan ada juga yang memegang jawatan Jusa A dinaikkan ke Turus 3.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan akan menambah baik tadbir urus proses kenaikan pangkat pegawai kumpulan pengurusan tinggi dalam perkhidmatan awam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2018.

The Malaysian Insight difahamkan kandungan surat itu dan laporan JPA antara yang dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang keempat di Putrajaya, kelmarin.

Selepas mesyuarat itu, Dr Mahathir mengumumkan kerajaan akan menambah baik tadbir urus proses kenaikan pangkat pegawai kumpulan pengurusan tinggi dalam perkhidmatan awam.

Katanya, suatu mekanisme baharu akan diperkenalkan melalui Akta Perkhidmatan Awam bagi memastikan proses kenaikan pangkat itu telus dan berintegriti, serta mengurangkan tidak puas hati.

The Malaysian Insight difahamkan perdana menteri turut melantik Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah, Abu Kassim Mohamed sebagai anggota panel Lembaga Kenaikan Pangkat. 

Lembaga itu sebelum ini diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara dan dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

“Sekarang ada pihak keempat untuk semak dan imbang,” tambah sumber.

Menurut sumber lagi, proses kenaikan pangkat sebelum ini dibuat dengan tidak telus dan teratur.

“Semua pencalonan kenaikan pangkat selepas ini mesti disertai dengan penilaian prestasi yang jelas, bukan lagi ikut (siapa) kenal siapa,” kata sumber kepada The Malaysian Insight. – 23 September, 2018.

Iklan
Iklan