Iklan

Bagaimana Putrajaya hidupkan IPCMC?

The Malaysian Insight6 years ago24th Sep 2018Berita
Bukit aman tmikamal 03
Bukit Aman dilapor gagal mengemukakan pelannya sendiri untuk meningkatkan tadbir urus dalam pasukan polis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2018.
Iklan

PUTRAJAYA setuju menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), yang tertangguh sejak 13 tahun lalu, selepas Bukit Aman gagal mengemukakan pelannya sendiri untuk meningkatkan tadbir urus dalam pasukan polis, kata sumber.

The Malaysian Insight difahamkan lebih kurang dua minggu lalu, Bukit Aman diminta oleh Pusat Gorvenans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) untuk menyiapkan pelan itu. Permintaan itu disampaikan dalam satu pertemuan antara GIACC dengan pimpinan kanan Bukit Aman.

Pelan itu sepatutnya dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Jumaat lepas.

Sumber yang menghadiri mesyuarat itu bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight, wakil Bukit Aman tidak membentangkan laporan seperti yang diharapkan.

“Mereka (Bukit Aman) sebaliknya membentangkan soal kebajikan pasukan polis yang tidak terjaga.

“Akhirnya mesyuarat setuju untuk laksanakan IPCMC (setelah tiada pelan daripada pasukan polis),” kata sumber.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun sebelum ini berkata polis tidak membantah penubuhan IPCMC tetapi berpendapat ada beberapa perkara yang perlu terlebih dulu ditangani oleh kerajaan.

Pembentukan IPCMC asalnya adalah antara 125 cadangan dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2005.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata polis tidak membantah penubuhan IPCMC tetapi berpendapat ada beberapa perkara yang perlu terlebih dulu ditangani. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2018.

Ia bagaimanapun tidak dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional kerana mendapat bantahan daripada pimpinan PDRM yang beranggapan badan itu meremehkan pasukan polis.

Bekas ketua polis negara Bakri Omar dan Musa Hassan ketika itu berpendirian pihak polis sudah ada jabatan untuk menangani aduan terhadap pegawai dan anggotanya.

Seorang sumber lain memberitahu The Malaysian Insight, pasukan polis memerlukan perhatian penuh kerajaan untuk menangani banyak isu termasuk rasuah dan kebajikan anggota.

“Kedua-dua isu mesti ditangani serentak. Banyak rakyat merasakan pasukan polis perlu dirombak tetapi mereka lupa bahawa kebajikan dan keperluan logistiknya juga perlu diberi perhatian,” kata sumber itu.

“IPCMC bagus dan boleh mengangkat imej pasukan polis.”

Mesyuarat JKKMAR pada Jumaat setuju melaksanakan cadangan suruhanjaya diraja itu dengan memperkasakan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

“IPCMC akan menjadi sebuah badan bebas untuk mengkaji aduan terhadap pihak polis secara holistik, ekoran banyak aduan diterima berkaitan anggota dan pegawai polis,” kata Dr Mahathir.

“Penubuhan IPCMC juga merupakan usaha untuk membersihkan nama polis dan menentukan mereka juga mendapat layanan baik sebagai anggota polis dalam masa sama mereka perlu membersihkan imej mereka,” katanya.

Penubuhan IPCMC adalah antara janji Pakatan Harapan dalam manifestonya untuk pilihan raya umum 9 Mei lalu. – 24 September, 2018.

Iklan
Iklan