Apa yang Anwar boleh beri kepada PD, tanya pengundi Cina
Iklan
PENGUNDI Cina di Port Dickson lebih berminat pada apa yang Anwar Ibrahim boleh lakukan untuk mereka berbanding cita-cita beliau untuk menjadi perdana menteri.
Apa yang mereka mahukan dari Anwar yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Disckon pada 13 Oktober adalah menjadi wakil yang akan memberikan tumpuan sama rata terhadap kawasan itu sebaik saja dilantik sebagai perdana menteri.
Bercakap kepada The Malaysian Insight, penduduk di kawasan itu merungut tentang Port Dickson yang kurang membangun sehingga menyebabkan ramai anak muda berhijrah tempat lain seperti Singapura dan Kuala Lumpur untuk mencari peluang pekerjaan.
Kebanyakan pengundi lelaki Cina mahu Anwar bangunkan ekonomi tempatan, manakala pengundi wanita pula lebih bimbangkan kos sara hidup mereka.
Bagi Teoh Ah Ming, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini katanya tidak membawa banyak pembangunan kepada Port Dickson dan berharap Anwar akan mengubah keadaan ini.
Sementara Yip Chew, seorang pesara, BN katanya gagal memanfaatkan sektor pelancongan di kawasan bandar tepi pantai itu. Beliau juga berkata apabila Anwar jadi perdana menteri kelak, Putrajaya perlu melabur dalam beberapa industri ringan untuk membangunkan ekonomi tempatan.
“Biarlah Anwar bertanding, saya harap beliau akan bawa lebih banyak idea dan faham keperluan kami,” katanya.
Bagi pemilik kedai kopi, Tan Kia Sheng, apa yang beliau mahukan ialah Anwar memulihkan industri pelancongan di Port Dickson.
“Kami nak tengok macam mana beliau boleh bawa perubahan, termasuk industri pelancongan di sini,” kata Tan.
Bagaimanapun, kebanyakan pengundi wanita di Port Dickson lebih risaukan masalah kos sara hidup.
Salah seorang daripada mereka ialah suri rumah, Loo Siew Peng yang berharap Anwar akan dapat meringankan beban rakyat di kawasan itu.
“Saya harap beliau dapat bantu apabila kami perlukan perlukan pertolongan.”
Meskipun rata-rata pengundi Cina secara amnya lebih memikirkan isu kos sara hidup, namun ada pengundi yang masih tidak pasti dan lebih suka menunggu kempen PRK bermula sebelum membuat sebarang keputusan.
Ada juga tidak berpuas hati dengan cara PRK ini diaturkan.
Port Dickson atau nama lamanya Teluk Kemang, mempunyai 75,212 pengundi yang terdiri daripada 42% Melayu, Cina (33%), dan India (22%).
Bekas ahli Parlimen Danyal Balagopal Abdullah memenangi kerusi Port Dickson pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dengan manjoriti 36,225 undi, mengalahkan calon MIC V. Mogan dan Mahfuz Roslan dari PAS.
Danyal kemudiannya melepaskan jawatan dan menyerahkan kerusinya kepada Anwar dua minggu lepas bagi membolehkan bakal presiden PKR itu bertanding dan seterusnya kembali ke Parlimen. Port Dickson dipegang PKR sejak 2008.
PKR dan Pakatan Harapan akan bekerja keras untuk memastikan semua penduduk keluar mengundi untuk memastikan kemenangan memihak kepada Anwar.
Veteran DAP Lim Kit Siang semalam mengumumkan akan berkempen untuk Anwar di Port Dickson sambil menambah PRK ini akan menjadi “peristiwa penting” bagi Anwar untuk kembali ke Parlimen. – 25 September, 2018.